'Kalau saya lompat parti, Pak Lah akan tampar saya' - KJ akan pastikan UMNO jadi Singa di Dewan Rakyat

Loading...

Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaludin mengulangi pendiriannya bahawa dia tidak akan meninggalkan parti itu jika tidak terpilih sebagai Presiden UMNO, esok. 

Khairy menegaskan, dia akan terus setia bersama dengan parti itu untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu. 

Dalam laporan Free Malaysia Today itu juga, Khairy menafikan dakwaan kononnya dia bertanding jawatan tertinggi itu hanya untuk memecahkan undi. 

"Ada isu yang kata kalau saya kalah, saya akan keluar UMNO. Ada juga yang kata saya bertanding jawatan Presiden UMNO hanya untuk pecah undi. 

"Tiada rundingan untuk pecah undi. Kalau saya lompat parti, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) akan tampar saya," katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Khairy Jamaluddin di Butterworth, malam tadi. 

Dalam ucapannya itu, Khairy akan memastikan UMNO akan menjadi 'singa' untuk rakyat Malaysia bagi menuntut janji 100 hari Kerajaan baru dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. 

Khairy memberi jaminan, sekiranya dia terpilih sebagai Presiden UMNO, dia akan memastikan UMNO menjadi lebih kuat dan bersedia dengan barisan menteri Kabinet bayangan sebelum memasuki Dewan Rakyat pada pertengahan bulan depan. 

“Kita kena cepat pulihkan Umno selepas 30 Jun ini. Dua minggu lagi kita akan bersidang di Dewan Rakyat. Saya kalau menang (jawatan presiden Umno), perkara yang pertama kita susun barisan kita dalam Dewan Rakyat.

“Kita masuk Dewan Rakyat bukan sebagai parti yang kalah, tetapi sebagai parti ke-2 terbesar dalam Dewan Rakyat. Jangan kita buat sedih…menyerah kalah. Belum apa-apa lagi nak cakap oh saya akan berunding dengan parti lawan supaya kita dapat minta nyawa daripada mereka. Kita parti yang ada maruah, ada harga diri.

“Kalau kita nak berunding pun, kalau orang nak berunding dengan kita biar dia berunding dengan singa yang sudah mengaum dalam Dewan Rakyat…mengaum untuk rakyat Malaysia," katanya yang juga mahu memastikan UMNO mendapat semula sokongan orang Melayu dan kembali menguasai tampuk pemerintahan negara. 

“Sebab itu saya nak kita bangkit, bangun sebagai parti untuk memastikan Umno ini parti bermaruah dan parti yang dipandang dengan hormat oleh lawan dan juga kawan. Saya mahu supaya kita dapat merayu kepada seramai mungkin orang Melayu untuk kembali bersama dengan perjuangan Umno," katanya.