Kes Ogos 2017, suspek sudah dikenakan tindakan

Loading...

Baru-baru ini viral video di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki cedera dilanggar kereta yang dinaiki isterinya yang didakwa curang. Bagaimanapun, polis mengesahkan video berdurasi 0.47 saat itu adalah kes lama dan suspek sudah dikenakan tindakan, lapor Harian Metro.

Terdahulu, pihak yang memuat naik video tersebut dengan tajuk "Isteri curang bersama teman lelaki langgar suami sehingga koma, namun tiada tindakan daripada pihak polis", menyebabkan netizen mengecam pihak polis tanpa usul periksa.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian itu sebenarnya berlaku pada Ogos 2017 di Taman Cahaya Kristal, Bandar Baharu, Kedah.

Menurut beliau, laporan polis juga sudah dibuat oleh isteri kedua mangsa mengenai 'pergaduhan' di antara suaminya dengan isteri pertama.

"Dalam laporan itu, isteri pertama datang menaiki kereta Perodua Myvi dipandu anak saudara lelaki bersama ibu bapanya untuk berbincang hak penjagaan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.

"Bagaimanapun berlaku pertengkaran dan mangsa melompat ke atas but bagi menghalang kereta dinaiki isteri pertamanya yang enggan berhenti.

"Kereta itu terus bergerak sejauh beberapa meter menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di kepala,” katanya.

Susulan daripada laporan itu, pihak polis menjalankan siasatan dan menahan isteri pertama dan pemandu terbabit yang juga sudah didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa manusia dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.

"Pada 27 Mac lalu Mahkamah Majistret Kulim menjatuhkan hukuman denda untuk kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki terbabit yang kemudian membayar dendanya," katanya.


Barudin berkata, pihak polis juga telah memaklumkan kepada mangsa mengenai keputusan mahkamah serta tindakan yang sudah diambil.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai atau mana-mana pihak tidak menyebarkan video tersebut serta membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.