'Kesian saya tengok Datin Seri Rosmah ni' - Aliff Syukri gesa netizen jangan hina isteri bekas PM


Sejak Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, menjadi tumpuan pihak media sama ada dari dalam dan luar negara. 

Keadaan bertambah teruk apabila pasangan itu dipercayai terlibat dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membawa kepada penemuan sejumlah besar wang tunai bernilai jutaan ringgit dan barangan mewah dari kediaman mereka. 

Di media sosial pula, netizen sehingga ke hari ini masih lagi bercakap mengenainya. Begitu juga dengan pengasas D'Herbs yang baru-baru ini memuat naik kenyataannya berhubung perkara ini, tetapi dalam nada berbeza. 

Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berasa simpati dengan Rosmah menjadi bahan bualan orang ramai yang rata-ratanya negatif. 

"Kesian saya tengok Datin Seri Rosmah Mansor ini. Walaupun sekarang saya berada di luar negara, juga ada yang bercerita mengenai dia. Di mana-mana saja ada cerita tentang dia. 

"Cuba bayangkan kalau anda berada di tempatnya, setiap apa yang dibeli dan dipakai semua dihitung," tulis Aliff. 

Bagi Aliff, jika benar sekalipun individu itu bersalah, tiada keperluan untuk netizen melemparkan sebarang kenyataan berbentuk penghinaan kepada isteri bekas perdana menteri ke-6 itu.

"Kalau dia salah pun, janganlah korang menghina dia melampau-lampau. Kita tunggu saja badan berwajib buat kerja dan saya yakin mereka lebih mahir (menyelesaikannya). 

"Macam tak sanggup nak dengar cerita tentang Datin Seri ini," tulisnya. 

Dalam kenyataan itu juga, Aliff mendedahkan dia pernah berhasrat menyertai arena politik, namun terbantut apabila melihat kesan dan akibatnya seperti itu.  

"Dulu ada juga rasa nak masuk politik, bila jadi macam ini, macam fikir dua kali saya nak join politik negeri. 

"Saya ingat jadi orang politik ini semua manis saja. Pelik isteri bekas Perdana Menteri pun boleh jadi seperti ini, lebih glamour dari artis Hollywood," tulis Aliff. 


Sementara itu di media sosial, netizen pula mengkritik kenyataan jutawan kosmetik itu yang dianggap bersimpati tidak bertempat dan tidak memahami kesengsaraan rakyat. 

"Orang kaya seperti Datuk mana boleh faham perasaan rakyat biasa? Bekas bibik curi duit dan perabot milik Datuk pun Datuk dah bising-bising bawa bibik pergi ke balai, siap buat video live bagai," kata netizen. 


Sumber: Roti Kaya