'Masa kena tu memang dah rasa macam nak ajal' - Kerap sakit kepala selepas merokok dah disahkan ada ketumbuhan pada otak


Sudah kerap diingatkan berhentilah merokok kerana ia memudaratkan kesihatan, namun masih ramai yang tidak endah dan menganggap ajal maut di tangan tuhan dan perokok penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Mudah berkata demikian kerana masih belum ditimpa sebarang musibah. 

Bagi lelaki ini yang baru kehilangan isterinya, dia bukanlah perokok yang tegar. Malah dia sendiri terkejut bagaimana boleh ada 'sesuatu' di bahagian otak kanannya yang dipercayai menjadi punca utama dia kerap mengalami masalah pening kepala dan sawan tarik tanpa sedar. 

Beringatlah wahai perokok, berhentilah sebelum terlambat. Semoga perkongsian dari Apeq Firas ini memberi kesedaran kepada golongan perokok.

CUMA nak kongsi sikit cerita yang terjadi pada aku sekarang ni. Mana tahu boleh jadi pedoman untuk kawan-kawan yang lain. Kalau nak ikutkan, panjang ceritanya. Tapi tak apalah, aku ringkaskan saja. Yang mana faham tu, fahamlah. Yang tak faham, buat-buat faham sajalah. 

Sebelum ini, aku kerap sakit kepala. Kadang-kadang kena sawan tarik seorang-seorang tetapi aku tak tahu benda itu sawan ke apa. 

So, pendekkan cerita, di bawah ini adalah gambar CT Scan yang dibuat pada pagi Rabu 30 Mei. Gambar rajah kiri bersamaan otak kanan, yang kanan otak kiri. Selepas habis scan, aku pun baliklah dan tengah hari tadi dapat panggilan dari doktor Hospital Putrajaya (HPJ), suruh datang semula dan terus pergi ke Jabatan Kecemasan, jumpa doktor di bahagian semi kritikal. 



Aku pun pelik dan tanya kenapa. Doktor kata, ada nampak 'sesuatu' di otak kanan aku bila masuk air contrast CT Scan. 

Dalam jam 2 petang, aku sampai. Aku diminta terus baring di katil dan kena cucuk terus line branular di tangan. Aku minta izin untuk solat Zohor dulu di situ. Dalam jam 3 petang lebih hampir 4 petang, sambil menunggu apa tindakan doktor selanjutnya. Tiba-tiba aku termenung dan kepala aku pening berpusing-pusing. Makin lama otak aku makin menarik kejang sekali dengan seluruh badan dan dalam masa yang sama tak boleh bernafas sebab oksigen tak sampai ke otak. 

Nasib baik mulut masih boleh buka dan terus panggil doktor yang ada ramai di depan mata. Masa kena itu memang dah rasa macam nak ajal, otak macam nak meletup! Dengan tak dapat bernafas. Selepas itu aku tak sedar dah. Tahu-tahu selepas sedar, kepala aku sakit gila skor 10 dan aku berada dalam zon merah (kritikal) dengan badan bertampal ECG dan macam-macam lagi. Doktor kata aku kena tu lebih kurang dua minit lebih, mata putih ke atas. 

Jadi, aku diberikan bantuan oksigen di wad sebab otak aku tak cukup bekalan oksigen. Tetapi sekarang Alhamdulillah dah semakin pulih. Cuma kepala ada pening-pening sikit skor 2-3 saja bila berjalan atau kepala tiada support. 

Semalam buat MRI scan di IKN tempat arwah permaisuri aku meninggal dan sekarang ini tengah tunggu formal report daripada Pakar Neuro Hospital Kuala Lumpur sebab di HPJ tiada pakar neuro. 

Doakan aku, harap tiada apa-apa yang serius, bukan tumor malignin (kanser) dan merisaukan. Kalau ada pun, biarlah ketumbuhan biasa (benignin) atau yang tak perlu dibedah dan boleh dikecutkan bengkak itu dengan makan ubat sahaja. Jika dibedah, risiko mungkin hilang ingatan sikit, hilang keupayaan sebelah  sebelah badan. Hanya orang sekeliling yang boleh beri aku support yang positif. 

KEMUNGKINAN PUNCA SEBAB APA INI TERJADI? 

Bila doktor tanya history life aku, mungkin disebabkan aku terlalu stress dalam life aku dan bersedih dengan kematian isteri dan paling utama aku MEROKOK! Sambil sedih-sedih, stress sedut asap. Doktor kata kerana merokok inilah punca segala jenis penyakit dan ini termasuk juga vape (rokok elektronik)! Walaupun aku merokok tak sekuat mana, sekotak dua tiga hari baru habis. 

So aku nasihatkan korang yang merokok itu lebih baik BERHENTI sekarang, Tolong BERHENTI! Aku repeat, TOLONG BERHENTI! 

Aku mohon doa daripada rakan dan kenalan sekalian supaya tiada apa-apa yang serius berlaku, yang merisaukan dan Allah berikan kesembuhan kepada aku. Amin ya rabbal 'alamin. 

Sumber: Apeq Firas