PBB nekad keluar BN dan sokong Kerajaan PH


Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti pemerintah Sarawak dilaporkan tetap dengan keputusannya untuk keluar dari Barisan Nasional (BN), lapor MalaysiaKini

Dalam laporan itu berkata, PBB nekad dengan keputusannya itu biarpun pemangku Presiden BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu untuk tidak berbuat demikian. 

Keputusan PBB itu akan menyebabkan BN kehilangan 13 kerusi di Parlimen kepada 66 kerusi. Selain itu juga, beberapa parti komponen BN lain di negeri itu juga akan dipinggirkan. 

Menurut laporan The Malaysia Insight 13 Mei lalu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan telah memaklumkan keputusan PBB untuk meninggalkan BN itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Abang Johari juga memberi jaminan Sarawak akan menyokong kerajaan pusat yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dalam hal-hal berhubung kepentingan negeri itu dan Malaysia secara keseluruhannya.

Abang Johari juga bertemu dengan Ahmad Zahid di Kuala Lumpur di mana beliau meminta Abang Johari tidak meneruskan keputusannya untuk keluar dari BN dengan berkata bahawa gabungan itu akan hancur sekiranya ia terjadi. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Alexander Nanta Linggi berkata, beliau tidak tahu mengenai keputusan partinya keluar dari BN dan anggota PBB belum dimaklumkan mengenai perkara itu. 

"Saya tidak tahu. Abang Johari belum memaklumkan anggota termasuk saya apa yang dibincangkan dengan perdana menteri. Beliau bagaimanapun akan mengadakan mesyuarat dengan parti-parti BN pada 12 Jun.

"Saya harap, apa-apa yang dibincangkan dengan Dr Mahathir akan dibawa ke mesyuarat itu," katanya.


Juga dilaporkan, sehari selepas PRU14, Gabernor Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bertemu dengan Tun Dr Mahathir di Kuala Lumpur. Namun tidak didedahkan tujuan kedua-dua pemimpin itu bertemu dan ini menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa PBB akan menyertai Pakatan Harapan. 

Keputusan PRU14 9 Mei lalu menyaksikan PBB muncul sebagai parti kedua tersebar dalam BN selepas PBB memenangi 19 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak. 

Meskipun begitu, Pakatan Harapan Sarawak menolak sebarang hubungan dengan PBB yang dikatakan penyertaan PBB ke dalam Pakatan Harapan hanya akan mensia-siakan usaha dan pejuangan pembangkang di Sarawak selama ini.