'Pengeras seperti pulut kuning, telur rebus, ayam panggang ditemui bawah katil' - Doktor kongsi penemuan benda-benda khurafat milik pesakit


Tempoh hari, heboh di media sosial mengenai Sup Bunjut yang menjadi adegan kelakar dalam drama Nur di slot Samarinda di TV3. Tidak kurang juga, ada netizen yang berkongsi, perkara itu sebenarnya memang pernah berlaku di mana pada masa itu tidak ramai yang mengenali sup bunjut. 

Sementara itu, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, juga tidak ketinggalan berkongsikan pengalamannya menemui benda-benda khurafat sepanjang bertugas di sebuah hospital. Hendak dibuang, bimbang dirinya menjadi mangsa sihir menyebabkan beliau hanya sekadar mampu menasihatkan ahli keluarga pesakit. 

SEHARI dua ini, ramai orang sebut-sebut pasal sup bunjut yang disalah ertikan sebagai barang sihir dalam drama Nur. Jadi, aku nak jugalah cerita pengalaman aku terjumpa 'sup bunjut' yang bukan untuk masak sup. Jangan terkejut jika aku beritahu di zaman ini, masih ramai yang menggunakan barang-barang ini. 

Sepanjang aku bekerja di hospital, sudah beberapa kali aku terjumpa barang-barang dan perkara khurafat yang diamalkan oleh kita (Melayu Islam). Antaranya adalah tangkal, wafak, amalan dan pengeras. 

Salah satu barang yang aku sering terjumpa adalah jenis bunjut. Ada warna merah, kuning dan putih. Aku tak tahu apa signifikannya warna-warna ini dan apa fungsinya. Mungkin sihir yang memudaratkan pesakit atau mungkin juga untuk memulihkan pesakit. Lazimnya ia diletakkan di bawah selimut atau batan pesakit yang tak sedarkan diri. 

Bunjut merah diselitkan di bawah selimut pesakit yang tak sedarkan diri. Dijumpai pada seorang pesakit di wad. FOTO - Dr Kamarul Ariffin
Kalau aku terjumpa, aku akan beritahu ahli keluarga dan suruh mereka buang. Nak buang sendiri, bimbang aku pula yang terkesan nanti. Kalau tak kena sihir, kena marah dengan ahli keluarga. Jadi, kita nasihat sahajalah ahli keluarga. 

Kedua, jenis wafak. Wafak ini adalah ayat-ayat atau gambar rajah yang ditulis pada kertas atau batu dan dipakai dalam kalung, cincin, tali pinggang dan sebagainya. Ada juga yang ditulis di anggota badan. Kadang-kadang ditulis dalam tulisan jawi (bukan ayat Al-Quran) atau rajah geometri. Ia dipakai sebagai pendinding. 

Wafak dengan tulisan jawi(Bahasa Melayu) + kepingan besi + kain hitam. Ia dimasukkan dalam lipatan tali pinggang. Dijumpai di Jabatan Kecemasan Zon Merah. Pemiliknya tidak diketahui. FOTO - Dr Kamarul Ariffin
Pernah saya terlihat seorang pesakit strok yang di betisnya lumpuh tertulis dengan salah satu nama Allah iaitu Al-Ghafur yang bermaksud, "Yang Maha Pengampun". Rasanya tak elok tulis nama Tuhan di anggota kaki. 

Seorang pesakit strok yang di betisnya yang lumpuh tertulis dengan salah satu nama Allah, iaitu Al-Ghafur yang bermaksud "Yang Maha Pengampun". Rasanya tak elok tulis nama Tuhan di anggota kaki. FOTO - Dr Kamarul Ariffin
Ketiga, jenis tangkal. Ia juga dipakai sebagai barang kemas, tali, cincin dan sebagainya. Namun tak ada apa-apa tulisan. Khabarnya barang-barang ini sudah dijampi dan boleh menjadikan seseorang itu kebal. Hairannya, sakit dan sampai masuk ke hospital juga.

Keempat, jenis ritual (amalan). Yang ini jika perhati kelakuan mereka, pasti kau orang akan meremang. Ada yang menari atau buka bunga silat setiap malam sebelum tidur. Ada yang meninum sesuatu yang mencurigakan. Ada perah limau pada anggota yang terjejas. Ada yang baca jampi atau menyanyi.

Kelima, jenis pengeras. Ini pun seriau bila ternampak. Ada tinggalkan buah-buahan di bawah katil, Pulut kuning, telur rebus dan malah ada yang sediakan ayam panggang. 

Susuk logam berbentuk jarum jarum halus di sekitar kiri muka. Di kening, pipi dan rahang. Pesakit beritahu ia untuk rawat Bell's Palsy (lumpuh sebahagian muka). FOTO - Dr Kamarul Ariffin
Keenam, jenis susuk. Susuk lazimnya diperbuat daripada logam seperti emas atau beliau. Maka ia boleh dilihat dalam imej X-ray. Selalunya dijumpai di X-ray muka, dada (payudara) dan anggota lain. Kebanyakannya yang dijumpa secara tidak sengaja. 

Amalan-amalan ini masih belum luput. Ia bukan sahaja diamalkan oleh generasi lama malah dilakukan juga oleh golongan muda. Ada yang mengatakan ia bukan kesalahan setelah ditegur oleh petugas kesihatan.

Jika dalam kesulitan, carilah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak. Carilah Tuhan dan mohonlah terus kepadaNya. Jangan gunakan perantara yang diragui. Moga kita semua dilindungi daripada kepercayaan khurafat.

Petugas Hospital

Nota: gambar-gambar ini saya yang ambil sendiri.