Suspek tikam anak saudara 30 kali negatif dadah, tiada masalah mental

Loading...

Susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditikam 30 kali sehingga mati, polis telah menahan reman seorang lelaki yang juga merupakan bapa saudaranya, selama tujuh hari untuk membantu siasatan. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek berumur 21 tahun itu direman bermula semalam sehingga Ahad ini. 

Ujian air kencing yang dijalani juga mendapati suspek negatif dadah. Namun suspek akan menjalani ujian lain bagi menentukan punca suspek bertindak demikian.

"Sekarang ini kami akan jalankan ujian darah dan toksikologi bagi mengetahui punca suspek berbuat sedemikian," katanya. 

Suspek juga tiada rekod mengalami masalah mental.   

Difahamkan, polis juga menemui senjata yang digunakan oleh suspek menikam mangsa sebanyak 30 kali, selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan kejadian.  

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.   

Dalam kejadian semalam, mangsa ditemui maut dengan 30 kesan tikaman dipercayai ditikam oleh bapa saudaranya di kediaman keluarganya di Taman Kepong.   

Mayat mangsa ditemui oleh neneknya di dapur rumah teres dua tingkat.   

Sumber: Bernama, The Star

BERITA BERKAITAN: