'UMNO dulu dipandang mulia, sekarang dipandang jijik' - Tun Dr Mahathir

Loading...

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuat naik gambar bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Twitternya menimbulkan pelbagai persoalan ramai apakah tujuan dan perbincangan dua pemimpin berkenaan. 

Dalam wawancara khas dengan Sinar Harian, Tun Dr Mahathir mendedahkan, Zahid datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam UMNO sehingga parti itu ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini. 

"Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan UMNO. Jadi saya berterus terang bahawa UMNO sudah mengkhianati orang Melayu. 

"Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh UMNO untuk tolong orang Melayu tetapi kini UMNO berubah dan mengutamakan kekayaan diri. Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. 

"UMNO nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik," katanya.

Semalam, Zahid memaklumkan pertemuannya dengan Perdana Menteri itu dibuat sempena bulan Ramadan. Pertemuan itu juga merupakan pertemuan rasmi pertama antara Zahid dan Tun Dr Mahathir selepas Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam PRU14 9 Mei lalu. 



Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Ahmad Zahid berhubung pertemuan itu, beliau hanya berkata; “Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan”.

Ditanya apakah Ahmad Zahid berjumpa dengan beliau untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir hanya ketawa.

“Kita tidak pandang sesiapapun nak masuk Pakatan Harapan terutamanya Bersatu. Kalau orang itu orang politik, dia perlu putus hubungan dengan partinya, menjadi bebas dan ikrar sokong kerajaan,” katanya.