(Video) 'Apa jut mak?' - Noorkhiriah tak sangka ramai berdekah dengan babak kelakar ini


Drama Nur yang mengisahkan seorang ustaz bertemu jodoh dengan seorang pelacur dibantah oleh keluarganya mendapat sambutan luar biasa. 

Banyak babak sedih, geram, kelakar dan menyampah serta terselit banyak pengajarannya membuatkan para penonton tidak mahu terlepas setiap episod drama Nur yang disiarkan di TV3. 

Di akhir episod semalam, netizen meluahkan rasa lucu mereka dengan tindakan kakak kepada Ustaz Adam (Syafiq Kyle), Aisyah (Noorkhiriah) yang mendakwa sup yang dimasak oleh Nur (Amyra Rosli) telah dibubuh dengan sihir. 

Aisyah yang mendapat maklumat dari adiknya Amirul itu dengan penuh keyakinan memasukkan tangannya ke dalam sup itu dan mengambil sup bunjut itu yang didakwa sebagai alat sihir menyebabkan kesemua ahli keluarganya ketawa. 
Sementara itu, Noorkhiriah baru sebentar tadi memuat naik kenyataannya berhubung babak yang mengundang rasa kelakar para penonton. 

"Ada yang tanya betul panas ke kak? Ye dik, memang panas tapi tak adalah panas meletup. Dia panas suam pasai baru pas perangat. Tapi apa ada hal? Dah kerja, sauk jela. Kerna itu pun membantu karakter. Alhamdulillah. 

"Cicak berbunyi pula on time, maka spontan cicak pun masuk dalam dialog," tulisnya selepas mengetahui babak sup bunjut itu viral di media sosial.

Ekoran itu juga, ramai netizen yang menghantar gambar sup bunjut kepadanya. Malah, Noorkhiriah sendiri tidak dapat menahan ketawa apabila melakonkan babak tersebut.

"Ramai pula yang hantar gambar sup bunjut kepada saya. Masa shooting scene ini pun memang menahan gelak.

"Cuba bayangkan, sup itu panas-panas suam. Memang saja budak prop.. sakit ati kat #ecah punya pasal. Tapi serius, tak sangka ramai yang berdekah dengan scene ini," tulisnya.

Dalam pada itu juga, Noorkhiriah memaklumkan, drama Nur akan sampai ke penghujungnya tidak lama lagi dan menjangkakan ramai penonton yang akan menangis berjemaah. 

"Apa pun, Nur dah nak sampai ke garisan penamat. Kita habiskan gelak minggu ini. Minggu depan kita nangis berjemaah sebelum raya ye. 

"Kau memang hebat #supbunjut, viral tu," tulisnya.