(Video) 'Dengan budak-budak kau berani la' - Netizen kecam lelaki tendang meja peniaga mercun

Loading...

Viral di media sosial video seorang lelaki berbaju biru menerajang meja peniaga mercun menyebabkan barang-barang (mercun) itu berterabur di atas jalan. 

Menurut sumber, lelaki yang tidak diketahui identitinya berumur lingkungan 40-an dikatakan berang kerana peniaga berkenaan menjual mercun walaupun sudah banyak kes kecederaan disebabkan oleh mercun. 

"Dia marah sebab budak-budak jual mercun. Pastu main mercun musim perayaan (dah) banyak kes kemalangan disebabkan mercun," kata sumber. 


Kata sumber lagi, kejadian itu diketahui oleh abang kepada budak-budak berkenaan yang kemudian mahu mencari lelaki terbabit untuk berbincang. 

"Abang budak jual mercun ini tengah cari lelaki Gangster ini untuk berbincang. Abang dia kata, 'Budak-budak kau berani buli, tunggu jumpa aku, nanti tengok kau macam mana'," kata sumber.

Di media sosial, netizen mengecam tindakan lelaki berkenaan yang dianggap keterlaluan dan tidak wajar dilakukan terhadap peniaga mercun. Selain itu, netizen mendakwa lelaki itu hanya berani berbuat demikian kerana peniaga mercun itu masih muda. 

"Agak-agaklah orang nak berniaga, bukan dia beli pakai modal kau pun. Budak-budak meniaga aku tak hairan, bagus meniaga. Yang acah-acah gangster ini tua nak mampus buat apa lagi kat kedai ni? Pergi terawih tu. Dah tua-tua pun tak pergi, baik mampuslah kau ni. Mati lagi baik. Bulan puasa nak marah-marah. Inilah namanya iblis yang nyata," - kata Azrein Syahriezad. 

Bagaimanapun menurut individu bernama Mamat tampil memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku. 

"Maaf saya mencelah, lelaki dalam video tersebut adalah kawan saya, nama dia Rahim. Bila tengok video ini, saya terus menghubungi beliau dan tanya kenapa dan sebab dia bertindak begitu. Jangan tuduh dulu apa yang dia buat, kena pastikan kenapa dia marah. 

"Puncanya dia sedang makan. Adik-adik yang jual mercun tu baling mercun dekat dengan tempat dia makan. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Jadi itu sebab dan punca dia marah. Orang-orang di kawasan kedai itu pun boleh jadi saksi. Pada saya jangan menghukum tanpa mengetahui situasi sebenar," katanya.


Jelas Mamat lagi, dia bukannya mahu mempertahankan tindakan Rahim dan dalam masa yang sama dia juga tidak bersetuju dengan tindakan rakannya itu. Malah, salah seorang budak-budak yang berada dalam video berkenaan adalah anak kepada rakannya sendiri. 

"Saya tetap marah pada Rahim, sebab salah seorang budak-budak itu juga adalah anak kawan saya. Saya juga mengatakan tindakan dia salah. Jadi kalau ikutkan kedua-duanya, saya tak menangkan," katanya. 


Orang ramai dilarang menjual bahan yang boleh meletup (mercun) tanpa permit. Sekiranya didapati atau ditangkap berbuat demikian, individu berkenaan boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan denda RM10,000 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. 

Mengedar, menjual dan memiliki mercun juga adalah kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhkan hukuman maksima lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.