(Video) Kereta dipandu laju sebelum rempuh motosikal dan langgar tembok

Loading...

Seorang lelaki maut apabila kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh sebuah motosikal yang dipandu warga Bangladesh sebelum menghentam tembok di persimpangan lampu isyarat di Jalan Pengaturcara, Persiaran Kerjaya, lapor Berita Harian

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari tadi, pemandu kereta jenis Volkswagen, Yahya Ismail, 42, dipercayai memandu laju di jalan tersebut. 



Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, saksi kejadian mendakwa kereta Volkswagen terbabit dipandu dengan laju sebelum terbabas melanggar tembok. 

"Saksi di tempat kejadian mendakwa kereta Yahya yang dipandu laju, melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Persiaran Kerjaya sebelum terbabas melanggar tebing tembok batu di sebelah kiri jalan.

"Mangsa yang berasal dari Shah Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat.

"Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan itu, Abdul Islam, 38, juga dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan. 



Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu tampil atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulkifli Razak dari JSPT Shah Alam atau mana-mana balai polis berhampiran. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.






Sementara itu, tersebar di media sosial seorang individu yang mendakwa mempunyai pertalian dengan mangsa berkata, mangsa mengalami sawan ketika memandu. Malah katanya, perkara yang sama juga pernah berlaku pada bulan ramadhan tahun lalu.