(Video) Wanita tampar budak 4 tahun yang berebut mainan dengan anaknya


Tindakan keterlaluan seorang wanita menampar kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang berebut mainan dengan anak perempuannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV). 

Dalam kejadian Ahad lalu di pusat hiburan kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di bandar Ningbo, timur China, dua kanak-kanak terbabit dilihat enggan berkongsi dan berebut barang mainan. 


Si ibu yang berang melihat insiden itu kemudian terus bangun dan memukul tangan mangsa sebelum menampar dan menunjal kepala mangsa beberapa kali sehingga terjatuh. 

Pada saat yang lain, kelihatan seorang wanita dipercayai kakitangan pusat berkenaan cuba meredakan keadaan. Namun si ibu terbabit sekali lagi menampar mangsa. 

Kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis yang kemudian datang ke lokasi kejadian, namun dua beranak berkenaan telah beredar dari situ.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan keluarga mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama. 




Pihak polis berjaya mengesan suspek dan kini sedang disiasat dan bakal didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang.