53 hari tak hadir ke sekolah, polis jemput murid depan rumah

Loading...

Viral di media sosial gambar-gambar seorang murid sekolah didakwa sudah lama tidak hadir ke sekolah selama 53 hari sehingga pihak sekolah terpaksa meminta campur tangan dari anggota polis.

Muhammad Nur Ismail yang memuat naik gambar itu di Facebooknya mendakwa, pihak sekolah mengambil tindakan dengan meminta pihak polis datang menjemput murid berkenaan setelah pelbagai usaha untuk memintanya datang ke sekolah tidak berjaya. 

"Murid tahun 6 dah 53 hari tak hadir ke sekolah setelah pelbagai usaha mengikut SOP yang diambil oleh pihak sekolah tidak berkesan. 

"Murid ini tak boleh bangun pagi kerana bermain game pada waktu malam. Ibu bapanya pula tidak sampai hati nak mengejutkan anak mereka untuk bangun pagi. 

"Semoga murid ini berubah dan berjaya dalam kehidupan. Biar anak menangis hari ini, jangan kita menangis di kemudian hari," katanya. 

Gambar-gambar yang dimuat naik Muhammad itu mendapat 18,115 perkongsian dan lebih 8,7000 komen netizen yang rata-rata bersetuju dengan tindakan tegas seperti itu. 





Sementara itu dalam laporan media tempatan, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Keramat menafikan murid berkenaan adalah pelajarnya. Sebaliknya kisah murid terbabit diambil dari media sosial sebagai pengajaran kepada semua pihak.

"Diharapkan semua pihak menghentikan viral foto berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan," katanya. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, sekali gus menafikan anggotanya terbabit dalam isu viral itu.