Bayi 4 bulan maut tersedak susu

Loading...

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di sebuah taska di Bukit Baru Melaka, hari ini, lapor Astro Awani

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Yusof Al-Baihakki Zainal Abidin, 4 bulan, dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Melaka oleh pihak taksa yang ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah tidak bernyawa 30 minit kemudian. 

Bapanya, Zainal Abidin Deraman, 34, yang bertugas sebagai anggotap olis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hanya mengetahui kejadian yang menimpa Yusof setelah dimaklumkan oleh isterinya sebelum segera datang ke hospital. 

Difahamkan, anak kedua pasangan itu dihantar ke taska tersebut pada jam 7 pagi dalam keadaan sihat dan hari ini merupakan hari keenam Yusof dihantar dan dijaga pihak taska tersebut. Sebelum ini, Yusof dijaga selama dua minggu oleh ibu mertuanya selepas isterinya, Roslina Ismail, guru berusia 34 tahun kembali tugas. 

"Hari ini baru hari keenam (di taska). Tibanya saya di sini, doktor memberitahu anak sudah meninggal. 

"Menurut pihak taska, selepas anak saya diberi susu dalam jam 8 lebih, dia tidur lama. Sehingga jam 11 pagi, muka dia nampak biru. Mereka cuba buat CPR sebelum menghantarnya ke hospital. Itu taska punya ceritalah," katanya.  

Zainal mengakui dia terkilan dengan insiden itu memandangkan dia dan Roslina menunggu selama lapan tahun untuk mendapatkan anak kedua. Namun dia redha dan enggan menuding jari terhadap mana-mana pihak dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa. 

"Saya redha, cuma saya nak tahu bukti sebenar supaya puas hati. Saya minta bedah siasat dibuat supaya puas hati. Buat masa ini, kita tidak tahu punca kematian. 

"Cuma saya sedih, dia meninggal ketika saya tiada. Sebelum ini, memang perkara sebegini yang saya nak elakkan, kan banyak isu… sebab itu saya bagi mak mertua saya jaga dia," katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat yang prosesnya telah dijalankan pada jam 8 malam tadi di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.