Bayi dijangkiti HIV selepas dapatkan rawatan keluarkan cebisan epal di kerongkong

Loading...

Seorang bayi lelaki berusia dua tahun di China yang dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan cebisan buah epal dari kerongkongnya, disahkan menghidap penyakit HIV dan menghabiskan masa selama enam minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

Lapor South China Morning Post, insiden itu berlaku pada hujung tahun lalu apabila bayi itu dibawa ke Hospital Kesihatan Ibu dan Anak Guiyang. 

Ibunya yang dikenali sebagan Tang, berkata, apabila mereka membawa anak mereka ke hospital itu, rawatan berlangsung lebih kurang satu jam. 

"Kemudian doktor memaklumkan anak kami dimasukkan ke ICU," katanya. 

Tang berkata, ketika berada di hospital, anaknya telah menjalani beberapa ujian rutin dan keputusan menunjuk anaknya negatif HIV. Sehari selepas bayi itu dibawa pulang ke rumah, pasangan berkenaan mendapati anak mereka masih belum sihat sepenuhnya, lalu dibawa semula ke hospital yang sama. 

Bayi itu diletakkan di bawah pemantauan di ICU selama dua minggu. Tetapi ibu bapanya merasakan ada sesuatu yang tidak kena, lalu membuat keputusan untuk membawa anak mereka ke hospital lain. 

Doktor kemudian melakukan ujian darah terhadap bayi itu dan terkejut apabila mendapati anak kecil itu positif HIV. Ibu bapanya turut menjalani ujian darah, tetapi keputusannya negatif. 

Pasangan itu membuat aduan dan meminta pihak Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Guiyang untuk menyiasat insiden itu. Malangnya pihak berkenaan berkata, tiada sebarang masalah dari hospital yang merawat anak pasangan itu. 

Tidak dapat menerima penjelasan itu, Tang dan suaminya membawa kes itu kepada Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga pusat, namun pihak berkenaan berkata, siasatan mungkin akan mengambil masa selama 10 hari. 

Pihak berkuasa kesihatan berkata, anak pasangan berkenaan dimasukkan ke hospital sebelum ini kerana mengalami kesukaran untuk bernafas dan keadaannya pada ketika itu kritikal lalu dimasukkan ke ICU dan dirawat selama 25 hari. 

"33 kakitangan kesihatan yang terlibat secara langsung dengan bayi itu juga disahkan negatif HIV. Kami juga telah mengambil sampel darah yang diambil untuk pemindahan darah juga tidak menemui sebarang masalah. 

"Kami sedang bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk mengesan punca sebenar jangkitan itu," katanya. 

Sementara itu, jurucakap Hospital Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Guiyang berkata, mereka berharap siasatan yang telus dari pihak berkuasa. 

"Jika kejadian itu berlaku di atas kecuaian kami, kami akan bertanggungjawab. Tetapi jika sebalik, mohon berlaku adil kepada kami," katanya. 

Kejadian itu mengundang rasa simpati netizen terhadap pasangan berkenaan. Bagaimanapun ada yang berpendapat mungkin keputusan pemeriksaan itu tidak tepat dan menggesa pasangan itu melakukan pemeriksaan sekali lagi dengan pakar lain.