'Bebaskan Najib, dia dimalukan sejak PRU14 tamat, inikah kerajaan yang kita inginkan?' - kata dua individu ini

Loading...

"Kami mahu pihak berkuasa bebaskan Najib. Ahli UMNO lain dari Pontian dan Temerloh akan menyertai kami untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Bahagian kami," demikian kata Ketua Puteri UMNO Pekan, Sida Tatiana Sariat yang ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Lapor Harian Metro, lebih 100 penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak jam 7.40 pagi tadi bagi menunjukkan sokongan mereka. 

Sida berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya menahan Najib tanpa bukti kukuh dan menuntut pihak berkuasa mengemuka bukti dan tiada keperluan menahan bekas presiden UMNO itu yang dianggap mengaibkan. 

Najib tiba di mahkamah dan dikawal ketat oleh pasukan polis dan pegawai SPRM. Najib dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berhubung kes SRC International Sdn Bhd. 

Satu lagi sejarah negara tercatat apabila buat pertama kalinya bekas Perdana Menteri ditahan dan dituduh di mahkamah.

Sejak Najib ditangkap SPRM semalam, hanya 50 penyokong yang berkumpulan di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebagai tanda solidariti kepada Najib dan melaungkan 'Hidup Najib. 

Sementara itu, konsultan perniagaan, Dr Philip Loh mendakwa penahanan Najib adalah tidak berasas dan dilakukan tanpa siasatan lengkap. 

"Pihak berkuasa tidak memberikan perincian mengenai pendakwaan yang bakal dibuat, perkara ini berlaku dengan mengejut. 

"Kami mahu perkara ini dihentikan. Adakah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengembalikan semula pemerintahan kuku besinya? 

"Biarkan Najib dibicarakan mengikut undang-undang, beliau dilayan dengan cara yang tidak betul dan dimalukan sejak PRU14 tamat. 

"Inikah kerajaan baharu yang kita inginkan? Bayangkan bagaimana rakyat biasa akan dilayan selepas ini," katanya.