Jenazah Adam Rayqal dikebumikan di Terengganu

Loading...

Jenazah bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves semalam, selesai dibedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, 2 petang tadi.

Jenazah Adam Rayqal berusia lima bulan kemudian dimandikan sebelum disembahyangkan di surau IPFN HKL pada 2.15 petang tadi.

Jenazah mangsa yang dibalut dengan kain batik dipangku ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, dibawa menaiki kereta Honda Jazz bersama suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, serta beberapa ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

Kenderaan itu dilihat beredar dari IPFN HKL pada 3.06 petang tadi.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad turut meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menziarahi keluarga mangsa selepas tiba di IPFN HKL pada 2.20 petang tadi.

Malam tadi, Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas dikatakan tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di rumah pengasuh terbabit di Kampung Nakhoda, Batu Caves 6.30 petang, semalam.

Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira 11 malam tadi selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi memaklumkan bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka, semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai nanti bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Harian Metro