'Percayalah apa yang dituduh ke atas saya tidak semuanya benar' - Najib

Loading...

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Langgak Duta, jam 3.07 petang. 

Najib akan dituduh pecah amanah dan beberapa lagi tuduhan yang lain berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1 Malaysia Development (1MDB) pada jam 8.30 pagi hari ini di Mahkamah Kuala Lumpur. 

Selepas penahanan itu, pengendali laman Facebook dan Twitternya telah memuat naik video 'persediaan' Najib yang sudah menjangka dia akan ditahan dan menegaskan dia telah difitnah oleh 'Sang Penguasa' kerajaan hari ini. 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekiranya saudara saudari mendengar mesej ini maknanya tindakan telah pun diambil ke atas saya.

Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia berhak mendapat pimpinan terbaik. Saya telah melakukan sedaya upaya saya, namun saya sedar ia tidak mencukupi kerana saya akui banyak kelemahan. Namun demikian, saya ingin menyuarakan isi hati saya kepada rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Ya, memang saya tidak sempurna seperti manusia biasa, namun percayalah apa yang dituduh ke atas saya tidak semuanya benar. Memang rumah kami digeledah selama berhari-hari. Memang saya disiasat dan ada barang yang dirampas. 

Namun semua ini belum konklusif. Ada banyak berita, gambar yang tersebar sersifat khabar angin, putar belit dan fitnah. Biarlah siasatan dijalankan dahulu. Saya belum berpeluang untuk mempertahankan diri saya.

Ya saya sudah tewas saya akur keputusan rakyat. Dan saya sedar bahawa kekalahan ini juga bermakna saya terdedah kepada lebih banyak tohmahan yang dahsyat. 

Benar semua orang adalah sama rata disisi undang-undang. Bukan sahaja di dunia tetapi juga balasan di akhirat. Tiada sesiapa yang akan terlepas, termasuklah sang penguasa di dalam kerajaan hari ini dan mereka yang menyebar khabar angin serta mengaibkan orang lain.

Saya terima bahawa hari ini adalah hari saya dan keluarga menjalani dugaan hidup. Saya tetap bersyukur kerana tidak semua yang berpeluang menjalani dugaan dunia. Kita semua tahu bahawa dugaan di akhirat adalah jauh lebih perit. Saya akan hadapi dengan tabah, sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui, maha mengasihani dan maha penyayang, sekian sahaja dari saya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini hanya Najib sahaja ditahan untuk tindakan lanjut, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan ditahan, namun  kertas siasatan yang melibatkannya tidak akan ditutup. 

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, juga meluahkan perasaannya di Instagram miliknya, @yananajib, berhubung bapanya ditahan SPRM. 

Nooryana meminta rakyat Malaysia meluangkan masa mengingati bapanya yang 42 tahun tanpa henti memikirkan nasib rakyat. 

"Selama 42 tahun, beliau (Najib) memikirkan rakyat sebaik bangun tidur sehingga tidur malam semula. Marilah kita memikirkan tentangnya kali ini ketika beliau sangat memerlukan kita.

"Marilah kita ingati beliau buat sekali ini tatkala beliau amat memerlukan kita. Anda boleh mengaibkan seseorang tapi Allah tahu.

"Kalau ini boleh berlaku kepada pemimpin kita, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam kalangan kita, namun kami percaya Allah tidak tidur," tulisnya di paparan IG milik beliau. 


"Walaupun menghadapi ujian getir hari ini, beliau masih tersenyum, ketawa dan memeluk kami... beliau lebih risaukan keluarga berbanding diri sendiri," tulisnya yang turut menyertakan hashtag #freenajib #respectcivilliberties #thestruggleisreal #pray4dsn. 

Sumber: mStar Online