'Saya mohon maaf, janji tak ulang lagi' - Safiey Ilyas

Loading...

"Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf secara terbuka," demikian kenyataan media yang dimuat naik usahawan kosmetik, Safiey Ilyas semalam di Instagram selepas dikecam ramai pihak berhubung penganjuran masjlis rumah terbuka bersama anak yatim dan anak tahfiz dicemari tarian tetek pondan. 

Terdahulu, Pencetus Ummah (PU) Amin menegur penganjuran majlis tersebut dicemari insiden yang tidak sepatutnya. Namun, respon awal Safiey menjelaskan, 'kira okey' dia membayar pondan tersebut untuk membuat persembahan dari membiarkan mereka melacur. 

Malah, dia juga tidak gentar dengan seruan beberapa pihak yang menyeru orang ramai memboikot produknya. Ini kerana bagi Safiey, dia percaya rezekinya sudah tertulis. 


Ramai pihak mengecam kenyataan usahawan kosmetik itu dan menganggap kenyataan itu sebagai bongkak dan angkuh. 

Bagaimanapun, Safiey dalam kenyataan media yang dimuat naik semalam mengakui kesilapan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang boleh mencemarkan imej agama. 

"Berhubung isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di kalangan masyarakat, saya dengan rendah hati ingin memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, khususnya kepada pengikut laman sosial saya yang beragama Islam, serta seluruh rakyat Malaysia. 

"Saya terpanggil untuk membuat pengakuan dan permohonan maaf secara terbuka berkenaan video yang tersebar bagi mengelakkan perselisihan faham dari terus menjadi keruh. Saya ingin memohon maaf kepada individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. 

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa, saya tidak akan mengulangi perbuatan saya yang telah mengganggu sensitiviti masyarakat serta mencemarkan imej agama tercinta demi kebaikan bersama. 

"Saya juga akan mencuba sedaya upaya saya untik menasihati teman rapat saya, tidak hanya khusus kepada golongan LGBT sahaja, juga kepada rakan-rakan selebriti wanita dan juga lelaki yang dilihat melampaui batas untuk berubah ke arah kebaikan. 

"Saya berazam dan berusaha untuk belajar dan tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang. Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Hidup ini adalah untuk terus memberi dan memberi. Doakan saya, terima kasih," katanya dalam kenyataan itu. 

Sementara itu, PU Amin mengucapkan kesyukuran di atas kuasa Allah dan usaha dakwah yang membuatkan Safiey akhirnya mengakui kesilapannya. 

"Akhirnya beliau mengakui dan memohon maaf kepada semua umat Islam atas segala ketelanjuran dan bersedia untuk menasihati rakan-rakan yang lain untuk meninggalkan gaya hidup transgender yang merugikan dan memalukan," katanya. 

Walaupun begitu, PU Amin tetap meminta Safiey memadamkan video dan gambar yang mempunyai unsur transgender contohnya gambar-gambar Safiey memakai pakaian wanita. 

BERITA BERKAITAN: