(Video) 'Ferrari aku beli RM1.8 juta terbakar' - Aliff Syukri

Loading...

Sebuah kereta Ferrari dilaporkan hangus dalam kebakaran di Kilometer 39.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Persiaran Kewajipan menghala ke Plaza Tol Sunway, Subang, hari ini, lapor Harian Metro

Difahamkan, Ferrari model 458 Italia itu adalah milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang turut mengesahkan sendiri di Instagramnya hari ini. 

Dalam video yang dimuat naiknya itu yang menunjukkan beliau menangis serta diselitkan klip video rakaman orang awam yang menunjukkan kereta Ferrari itu terbakar. 

"Aku insan yang lemah. Kuatkanlah semangatku ya Allah. Apa patut saya buat? Kereta kesayangan aku beli RM1.8 juta. Tak ada salah, tak ada apa, tiba-tiba meletup terbakar." tulisnya pada kapsyen video tersebut. 


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, ketika kejadian pada petang Khamis, kereta itu dipandu oleh seorang lelaki warga Australia, Alladin El Mir, 29 tahun. 

"Menerusi keterangan pemandu, dia menyedari kebakaran bermula di bahagian ekzos dan bertindak memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan. 

"Lebih kurang seminit selepas dia berhenti dan keluar daripada kenderaan, berlaku letupan yang menyebabkan api marak membakar kereta mewah itu," katanya. 

Kereta itu dilaporkan terbakar 30 minit sehingga api berjaya dipadamkan oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. 
Pemandunya dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis dan Bomba sedang menjalankan siasatan punca sebenar kejadian.

Netizen bersimpati dengan Aliff Syukri dan meminta pengasas D'Herbs itu bersabar dan redha dengan ketentuanNya.

"Sabar Datuk, dugaan Allah pada Datuk. Apa yang terjadi ada hikmahnya. InsyaAllah, mana kita tahu kuasa Allah selepas apa yang terjadi ini, Allah gandakan rezeki Datuk. InsyaAllah, sabar ye Datuk," kata netizen.