Bayi patah tangan, disyaki didera pengasuh

Loading...

Seorang pengasuh berusia 46 tahun ditahan polis kerana dipercayai mendera seorang bayi lelaki berusia tiga bulan sehingga patah tangan dalam kejadian di Seksyen Dua, Seri Iskandar, lapor Harian Metro

Mangsa, Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain, patah tangan kanan ketika dalam jagaan pengasuh terbabit, kini di rawat di Hospital Seri Manjung. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa berusia 28 tahun pada jam 11.04 pagi. 

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan pengasuh berkenaan semalam.

"Berdasarkan laporan itu, bapa mangsa mengambil mangsa di rumah pengasuh di Seksyen Dua dan bertanyakan mengenai keadaan tangan anaknya itu.

"Bagaimanapun suami suspek memaklumkan tangan mangsa terseliuh sebelum membawa mangsa mendapatkan rawatan ke Hospital Changkat Melintang.

"Doktor kemudian merujuk mangsa ke Hospital Seri Manjung dan dimaklumkan tangan mangsa mengalami kesan dipulas dipercayai didera sehingga mengakibatkan patah tulang," katanya.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.