Dera, kanak-kanak patah tangan dipukul ibu saudara dengan kayu

Loading...

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah tangan kanan selain cedera di tubuhnya akibat didera oleh ibu saudaranya, lapor Harian Metro

Perbuatan wanita berusia 25 tahun di terbongkar selepas dia menghantar mangsa ke Hospital Mukah pada jam 12.25 tengah hari semalam. 

Difahamkan, doktor yang merawat mangsa berasa curiga dengan kesan kecederaan yang dialami mangsa, lalu menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu. 

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek telah ditahan untuk disoal siasat. 

"Dalam soal siasat dijalankan, suspek mengakui memukul mangsa dengan penyidai baju, tangan serta kayu di rumah pekerja kilang sawit di Selangau.

"Suspek memukul kanak-kanak itu dua hari lalu sebanyak tiga kali," katanya. 

Ekoran kejadian itu, mangsa patah tangan kanan, lebam di bahagian muka, dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki serta kulit menggelupas di bahagian atas kemaluan. 

Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.