'Gelas yang pecah itu bukan kali pertama aku kena' - Disihir officemate kerana dengki

Loading...

Bila timbul rasa tidak puas hati, ada yang sanggup menggunakan ilmu hitam untuk menganiaya orang yang tidak digemari biarpun mereka tahu perbuatan itu salah dan berdosa. Pada golongan ini, apa yang penting ialah kepuasan melihat orang itu dijatuhkan agar dia dapat mengambil alih tempatnya. 

Perkara seperti ini juga berlaku di tempat kerja. Yang menjadi mangsa kebiasaannya adalah kakitangan yang prestasi kerjanya yang cemerlang, hubungan antara rakan pejabat yang akrab, digemari majikan dan selalu dikeliling semua orang. Dalam diam, ada mata yang memerhati dan menyimpan hasad dengki lalu mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. 

Oleh itu, sentiasa berhati-hati dan bersederhanalah dalam segala apa jua tindakan kita. Tidak kurang juga, amalkan doa-doa yang melindungi diri dari sebarang anasir jahat dari mereka yang tidak bertanggungjawab. Semoga perkongsian ini bermanfaat. 

PAGI tadi pergi sarapan pagi dengan seorang member di kawasan office dia. Masing-masing sibuk, jadi dah lama kami tak berjumpa. Dari raut wajahnya, dia nampak tengah stress dengan kerja. Biasalah, naik pangkat cepat, dah jadi level boss mestilah pressure lebih. 

Selepas beratur bayar makanan, kami cari tempat duduk. Saya ambil kuih sedikit dan minum air suam sahaja. Member pula ambil nasi goreng dan nescafe tarik, nampak menyelerakan. 

Baru saja kami nak makan, tiba-tiba saja "PRAPPP!!!". Gelas member meletup dan pecah. Habis airnya tumpah di atas meja. Semua orang pandang kami tetapi dia buat relaks saja. Katanya air panas sangat agaknya. Selamba dia bangun dan pesan minuman yang lain. Kemudian dia duduk semula dan sambung makan. 

Saya pada masa itu tak mengesyaki apa-apa. Dalam hati kata, mungkin gelas itu sudah retak dan hanya menunggu masa saja nak pecah. 

Bila sudah selesai makan, kami pun berjalanlah keluar dan masa itulah dia datang dekat dan berbisik. 

"Aku sebenarnya tak faham dengan perangai orang kita. Biasalah, bila kita kerja 'betul' dan tak ada nak kona-kona, tak semua orang suka kita. Tapi nak buat macam mana, dah memang amanah tuhan. Kita kenalah buat yang terbaik dan berserah kepadaNya," dia mula bercerita dengan dahinya yang berkerut dan panjang lebar dia meluahkan perasaan tentang cabaran di tempat kerja dia sekarang. 

"Gelas yang pecah itu, bukan pertama kali aku kena," katanya yang terus membuatkan aku meremang bulu roma.

Dia ada menasihatkan saya, antara salah satu doa yang kita semua patut amalkan setiap kali keluar dari rumah dan paling kurang tiga kali sehari adalah:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(Bismillahil Lazi La Yadhurru Ma’as Mihi Shai Un Fil Ardhi Wala Fis Sama I Wahuwas Sami Ul Alim)

Maksudnya:

“Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya sama ada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha mendengar dan Maha mengetahui”

Kalau makan di luar, digalakkan amalkan doa itu 7 kali sebelum nak makan diikuti dengan doa makan. InsyaAllah, dilindungi diri kita dan keluarga dari gangguan syaitan dan dengki sesama makhluk.

Ia seperti maksud hadis yang berbunyi:

Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa: “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” (Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan)

Kisah perkongsian ini mungkin satu kebetulan sahaja, namun ia boleh dijadikan pengajaran buat kita semua. Allahu'alam.

Patutlah tadi saya nampak mulut dia terkumat-kamit sebelum makan. Dalam hati, panjang betul doa makan dia. Hahaha!

Sumber: WM Syamzari