Geram dengan isteri, suami campak 3 anaknya dalam sungai sehingga mati lemas

Loading...

Penduduk di sebuah perkampungan di daerah Andhra Pradesh Chitoor, India digemparkan dengan kejadian seorang bapa membuang tiga orang anaknya ke dalam sungai, lapor India Today.

Menurut keterangan isterinya, Amaravathy kepada pihak polis, suaminya, Venkatesh, berbuat demikian selepas mereka berdua bertengkar. 

Polis berkata, wanita itu mendakwa suaminya telah membunuh tiga orang anaknya dengan membuang ketiga-tiganya ke dalam sungai pada Ahad lalu selepas mereka berdua bertengkar. 

Mayat ketiga-tiga mangsa, Puneet, 6, Sanjay, 3, dan Rahul, 10 bulan) ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di sungai, yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Difahamkan, Amaravathy adalah isteri kedua Venkatesh. Pasangan itu dikatakan kerap minum minuman keras dan kerap bertengkar. 


Minggu lalu, selepas mereka bertengkar, Amaravathy keluar dari rumah bersama tiga anaknya pulang ke rumah ibunya. Tetapi, Venkatesh kemudian memujuk mereka pulang semula ke pangkuannya. 

Malangnya pada Ahad lalu, pasangan itu bergaduh lagi. Venkatesh keluar dari rumah bersama tiga orang anaknya itu yang kemudian dilaporkan hilang sebelum mayat mereka ditemui di sungai. 

Polis telah membuka kertas siasatan dan Venkatesh telah ditahan serta mengaku melakukan pembunuhan itu. 

Sementara itu, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.