'Kalau anda rasa pakaian pramugari kita mencolok mata, tolong jangan pandang' - Menteri Pengangkutan

Loading...

Dewan Rakyat semalam kecoh selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang (PAS), Siti Zailah Yusoff berhubung isu pakaian seragam pramugari Malaysia yang didakwa mencolok mata. 

Dalam soalan yang dibangkitkan oleh Siti Zailah turut mengatakan ada wanita beragama Islam bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.

"Kalau anda (Ahli Parlimen) semua rasa pakaian pramugari kita mencolok mata, tolong jangan pandang," katanya. 

Jawapan Anthony itu menimbulkan kekecohan di kalangan pembangkang yang menyifatkan pakaian pramugari MAS tidak sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam. 


Jelas Anthony, setiap syarikat penerbangan bebas memilih pakaian korporat masing-masing selalu mampu menjalankan tugas keselamatan dengan baik. 

“Kerajaan merasakan pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu berkebaya selari dengan identiti Malaysia yang sering memberi layanan mesra kepada pengguna," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak menghalang jika pramugari beragama Islam memilih untuk memakai pakaian yang menepati kehendak syariah selagi mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan.

“Namun, kita tidak menghalang sekiranya pramugari beragama Islam memilih untuk memakai pakaian yang menepati syariah Islam selagi mana ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) bertanya sama ada kerajaan akan menggesa Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membenarkan pramugari beragama Islam untuk memakai tudung ketika bertugas.

Menjawab soalan itu, Anthony berkata beliau akan berbincang dengan pengurusan MAB tetapi menjelaskan setakat ini belum ada apa-apa perubahan daripada peraturan sedia ada.

"Berkenaan dengan isu itu saya akan bincang dengan pihak pengurusan MAB (tetapi) setakat ini belum ada apa-apa perubahan.

"Perkara ini perlukan perbincangan dengan pihak pengurusan," katanya lagi.


Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi (Pas-Tumpat) kemudian mencelah membandingkan uniform pramugari di negara ini lebih menjolok mata jika dibandingkan dengan syarikat penerbangan lain.

“Kalau kita lihat seolah-olah macam pakaian pramugari di Malaysia ini terlalu menjolok mata berbanding dengan pakaian pramugari syarikat antarabangsa dari barat seperti AS. Kita melihat mereka memakai sekurang-kurangnya seluar berbanding pakaian seksi yang dipakai pramugari di negara ini," katanya.

Menjawab isu tersebut, Anthony berkata soal pemakaian dan uniform itu adalah subjektif dan meminta sesiapa yang merasakan seragam pramugari terlalu mencolok mata untuk 'mengalihkan pandangan' mereka, mengundang gelak ketawa daripada anggota parlimen lain dalam Dewan Rakyat.

Jawapan yang diberi oleh Anthony itu tidak begitu memuaskan Siti Zailah yang mengatakan dia telah mendengar jawapan seumpama itu sejak dari dulu lagi dan tidak menyangka kerajaan baharu tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Saya sudah dengar jawapan seperti ini berbelas tahun - tiga penggal di Dewan Rakyat dan dua penggal di Dewan Negara. Jawapan sama, tiada perubahan baru. 

"Apakah pakaian skirt singkat yang mencolok mata itu menjamin keselamatan?" soalnya.