Kanak-kanak lemas selepas tertinggal dalam bas sekolah sepanjang hari

Loading...

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Thailand meninggal dunia akibat lemas selepas terkunci dalam sebuah bas sekolah sepanjang hari dalam cuaca yang panas, lapor Daily Mail.

Mayat mangsa, Nura Nadia Ma, ditemui petang Rabu di Pattani, selatan Thailand dalam keadaan hidungnya berdarah.

Difahamkan, mangsa diambil dari kediamannya oleh pemandu bas sekolah itu sebelum dihantar ke pra sekolah pada pagi hari kejadian. 


Namun, Nura Nadia tertidur ketika dalam perjalanan ke sekolah dan pemandu bas, Ahama Sanay, 23, tidak menyedari Nura Nadia masih berada dalam bas semasa dia menurunkan kanak-kanak yang lain. 

Ahama kemudian mengunci pintu bas dan menyebabkan mangsa berada dalam kepanasan dengan suhu di luar mencecah 35 darjah celcius. 

Ibu mangsa berkata, apabila dia tiba pada jam 4 petang dan menunggu anaknya di pintu sekolah mendapati anaknya tiada di situ sebelum menghubungi guru anaknya. 

Kakitangan itu kemudian menemui kanak-kanak itu terkunci dalam bas dan tidak sedarkan diri dengan darah mengalir dari hidungnya. 

Menurut pegawai polis dari Balai Polis Pattani berkata, siasatan mendapati terdapat kesan percubaan mangsa cuba untuk keluar dari kenderaan itu. 

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan pemandu bas berkenaan untuk siasat dan suspek mengaku telah meninggalkan mangsa dalam bas sekolah itu. 



Dalam keterangannya, Ahama berkata, isterinya selalu membantu kerjanya tetapi pada hari kejadian, isterinya tidak dapat bersama dengannya. 

Ahama mengakui dia telah mengunci pintu bas sekolah tanpa memeriksa keseluruhan kenderaan itu sebelum pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal dan merancang untuk kembali semula pada petang hari kejadian untuk menyambung tugasnya. 

"Ibu mangsa menunggu anaknya di sekolah tetapi kanak-kanak itu tidak muncul sebelum dia menghubungi guru sekolah untuk mencari anaknya. 

"Mereka kemudian menemui mangsa di dalam bas  sekolah dalam keadaan sudah tidak bernyawa. 

"Pemandu itu ditahan dan disiasat serta akan didakwa kerana kecuaian," kata polis. 

Pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas.