'Kau ni, eja kiblat pun tak reti ke?' - Ibu sepak anaknya berusia 8 tahun beberapa kali

Loading...

Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang tidak tahu membezakan perkara baik dan buruk. Lantaran itu sebagai ibu bapa, mereka perlu menggalas tanggungjawab untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak ke arah yang lebih baik. 

Jika hari ini, anak-anak sudah mula pandai melawan atau melakukan perkara tidak terduga, seharusnya kesalahan bukan hanya ditunding kepada anak-anak. Sebaliknya, kita juga harus memikirkan adakah corak didikan yang kita berikan sudah sempurna?

Bukan kuantiti anak yang perlu dibanggakan oleh ibu bapa, tetapi kualiti yang telah kita terapkan kepada anak-anak sehingga mereka berjaya.

Perkongsian dari Nurul Izzah Zainol seharusnya membuka mata ibu bapa sekalian tentang penjagaan anak-anak. Pertuturan dan pelakuan ibu atau bapa merupakan cerminan kepada anak-anak.

TAK MINTA DILAHIRKAN

Sedang solat di Rawat dan Rehat (RNR) tadi, jujur saya katakan saya sedikit terganggu dengan adegan ibu dan anak-anak di hadapan saya. Memang tidak khusyuklah senang kata. Jelas sekali perbualan ibu dan anak-anak tersebut kerana suara meraka bukan main kuat.

Si kakak minta si adik mengeja perkataan kiblat yang tertera di siling atas. Tergagap si adik mengeja dengan beberapa kali salah eja. Si ibu yang sambil betulkan tudung menyepak si adik yang salah eja. Cubaan kali kedua ketiga juga salah, maka beberapa kalilah si ibu itu menyepak anaknya sambil berkata :

“Kau ni eja kiblat pun tak reti ke?”

Si kakak yang saya rasa mungkin darjah 4 menambah ejekan:

“Kau dah darjah 2 tak reti eja lagi memang mampuslah.” 

Saya kira si ibu dan ayahnya mungkin bercerai apabila dia ada menyebut yang,

“Lepas ni ibu tak mahu jaga kau, kau duduklah dengan ayah, baru kau tau”

REFLEKSI

Usai solat terus terefleksi hubungan saya dengan anak yang banyak khilafnya. Bahawa anak-anak takkan terlahir tanpa kehendak dan persetubuhan ibu ayahnya. Tak jumpa sperma dan ovum tak terkeluarlah anak berketul-ketul itu. Anak-anak tak minta dilahirkan. Yang ada ibu ayah yang teringin beranak atau yang tak ingin tapi terbabas beranak.

Sepatutnya, takut nak beranak atau beranak lagi bukan sebab takut miskin sahaja. Bukan takut tak mampu nak bela sahaja. Bukan serik nak hadap sakit bersalin. Tapi lebih kepada takut tak mampu mendidik, memberi teladan yang baik dan memberikan nafkah batin berupa kasih sayang dan kecintaan.

CUKUPLAH

Bila nak beranak atau beranak lagi, tolong pandang kiri kanan, atas bawah dan luar dalam diri sendiri dan pasangan. Terutama sekali si ayahnya kerana dialah ketua keluarga. Kalau agama pun jauh panggang dari api, tak boleh langsung nak harap jadi teladan, mulut puaka penuh makian, tak boleh sabar dan baran sahaja kerja, eloklah di’kasi’kan dahulu peranakan.

Cukuplah hidup berdua laki bini. Cukuplah hanya seorang anak yang sedang jadi mangsa ibu ayah yang gagal mendidik. Cukuplah setakat berapa ketul yang ada. Janganlah lagi ditambah. Betulkanlah diri sendiri dahulu biar makan tahun sekalipun.

Kasihan anak-anak  yang asalnya tak minta dilahirkan akhirnya terpaksa menempa hidup yang hodoh di dunia ini. Eloklah sahaja dibiar beriang ria di luh mahfuz itu. Andailah anak-anak boleh memilih ibu bapanya, boleh jadi mereka tidak akan memilih beribu bapakan seperti kita.

Anyway, tak berdosa tak beranak. Tak berdosa juga tak beranak ramai. Yang berdosanya adalah beranak-anak tapi menzalimi hak zahir batin anak-anak yang tidak berdosa itu. 

Saya? Cukuplah apa yang ada. Lebih dari cukup sebenarnya.