Memondan di Kelantan, boleh dikenakan denda RM1,000

Loading...

Mana-mana lelaki yang berkelakuan seperti wanita atau pondan di negeri Kelantan akan dikenakan tindakan tegas dengan denda maksimum RM1,000 sebagai usaha memerangi kegiatan yang tidak bermoral itu. 

Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad berkata, tindakan itu bukan hanya dikenakan terhadap penduduk tempatan, malah boleh dikenakan terhadap pihak luar yang datang berkunjung ke negeri itu yang melakukan kegiatan tersebut,

Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 memperuntukkan pesalah boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sekurang-kurangnya enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Tidak pasti sama ada negeri lain mempunyai undang-undang begini, namun di Kelantan, kita ada peruntukan yang jelas melarang sesiapa yang berpakaian atau berlagak seperti pondan di tempat awam dan mereka boleh didenda dan dipenjara.

"Terpulang kepada mereka (lelaki itu) jika mereka ingin kelihatan seperti perempuan di rumah tetapi jangan di tempat awam. Ia adalah satu kesalahan serius,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pentauliahan 31 Peguam Syarie di Jabatan Mahkamah Syariah di Tunjong di Kota Bharu, hari ini dan turut hadir bersama Ketua Pendakwa Syarie Kelantan Zaini Sulaiman.

Mengulas lanjut, Daud percaya kegiatan pondan masih wujud di Kelantan berikutan beberapa faktor termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, selain kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa sejak kecil. 

"Ketika saya berkhidmat sebagai Ketua Penguat kuasa Agama Negeri pada 1980-an lagi sudah ada kes seperti ini, malah terdapat antara 40 hingga 70 pondan kita kesan.

"Pada zaman itu, kami sentiasa mengadakan dialog dan kaunseling untuk mendidik mereka. Sekarang ini saya percaya bilangan mereka mungkin sudah berkurangan daripada 1980-an," katanya.

Daud berkata, golongan pondan di Kelantan dilihat bebas menjalankan 'aktiviti' mereka berikutan pihak berkuasa kurang menjalankan operasi membanteras masalah itu. 

"Saya ingin menasihati pihak berkuasa tempatan terutama badan penguat kuasa supaya sentiasa menjalankan operasi dan memberi kaunseling kepada golongan ini," katanya. - Harian Metro