'Aku mampu belikan Smiggle untuk anak aku, apa salahnya?' - Trend beli benda mewah untuk anak undang rasa cemburu rakan-rakan sekolah

Loading...

Tidak salah memewahkan anak tetapi biarlah berpada-pada. Bimbang anak akan menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakannya di sekolah yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu dan keinginan memiliki barangan tersebut. 

Namun, adakalanya ia boleh menimbulkan perasaan riak yang akhirnya membawa kepada perkara lain seperti berlakunya kecurian, kehilangan dan sebagainya. Sebagai ibu bapa, didiklah anak-anak dengan baik dan jangan biasakan anak-anak dengan kemewahan. 

TREND orang sekarang belikan benda mewah untuk anak-anak. Tidak salah nak mewahkan anak jika kita mampu. Tetapi fikir-fikirkanlah keselamatan dan manfaat untuk anak kita. 

Contoh kita bagi anak kita bawa bekas pensil Smiggle yang mahal itu ke sekolah. Dalam satu sekolah, mungkin anak kita seorang sahaja yang ada beg Smiggle, kotak pensil Smiggle. Kemudian anak kita pula mestilah beritahu kawan-kawannya, jenama Smiggle itu tidak dijual di kedai DIY atau kedai ECO RM2. Hanya terdapat di KLCC dan beberapa kedai terpilih sahaja. 

Sedar tak kita bahawa perbuatan itu sudah mengundang rasa cemburu kawan-kawan kepada anak kita?

Mungkin kita boleh kata "Aku mampu, apa salahnya?". Anak kita pun mungkin kata, "Mak abah aku mampu mewahkan aku, apa salahnya?". Betul, memang tidak salah. Yang salahnya ialah bukan semua budak di bawah umur 12 tahun mampu menghilangkan perasaan cemburu, keinginan memiliki dan faham akan erti tidak mampu. 


Dan lebih salah lagi apabila budak-budak ini bertindak di luar batasan dengan menyorok, mencuri atau merosakkan. Apabila berlaku kes kehilangan, kecurian, sorok menyorok maka berlakukan adegan pemiliknya menangis-nangis meminta cikgu siasat dan tangkap si pelaku. Cikgu nak tak nak terpaksa menjalankan siasatan bagi mengesan pelaku. 

Guru-guru yang tidak pernah mendapat latihan khusus dalam mengendalikan kes jenayah, tiba-tiba dah seperti Ketua Polis Negara. Bayangkan semasa kes siasatan, banyak hati anak-anak akan terguris. Banyak hati mak abah yang luka.

"Anak aku baik, kenapa cikgu tuduh anak aku? Aku tak pernah ajar anak aku mencuri."

Pasti kata-kata seperti itu akan berlegar di mulut ke mulut apabila anak kita disyaki dan disoal siasat. 

Rakan-rakan Facebook, saya menulis perkara ini sekadar mahu memberitahu kepada semua bahawa mungkin perkara tersebut kecil sahaja tetapi ianya boleh mengundang perkara-perkara yang lebih besar. 

Sayangilah anak kita, jangan biarkan keselamatan dan emosinya tercalar. Belajar hidup susah dan sederhana itu bukan pembelajaran yang salah. Bahkan ramai orang-orang yang berjaya terdiri daripada mereka yang asalnya dulu hidup susah.