Elak ditangkap, pencuri iPhone tanggal habis pakaiannya

Loading...

Seorang wanita didakwa mencuri iPhone milik mangsanya cuba melepaskan diri dari ditangkap orang awam dengan membuka semua pakaiannya dan mengugut akan menjerit kononnya dia diserang secara seksual.

Lapor Apple Daily, suspek warga Vietnam berusia 45 tahun itu, meragut iPhone tersebut dari mangsa dan terus melarikan diri sebelum dikejar beberapa orang awam dalam kejadian jam 4 petang Ahad lalu di pusat perindustrian di Cheung Sha Wan, Hong Kong. 

Menurut saksi, Ng, suspek dikejar kira-kira enam atau tujuh orang awam. Suspek kemudian cuba bersembunyi di bawah kereta, namun berjaya ditemui lalu diheret keluar dari bawah kereta. 

Mangsa yang tiba di lokasi kejadian itu kemudian menjerit, "Jangan biarkan dia terlepas dengan telefon saya!".

Untuk mengelakkan dirinya ditangkap, suspek mula menanggalkan pakaiannya dan mengugut akan mendakwa mereka menyerangnya secara seksual. Suspek sekali lagi melarikan diri. 




Enggan berputus asa, kumpulan yang sama terus mengejar suspek, di mana pegawal keselamatan sebuah pusat beli-belah tampil membantu menangkap suspek. 

Polis tiba di tempat kejadian tidak beberapa lama kemudian dan selepas diperiksa, iPhone milik mangsa, Yuen, yang dianggarkan bernilai RM 4,240 itu ditemui dalam beg tangan suspek. 

Suspek masih berdegil dan menafikan dia mencuri telefon bimbit itu dan mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh sekumpulan individu yang menangkapnya.