LGBT dianggap sebagai penyakit mental, layak terima zakat di Selangor

Loading...

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid mengatakan individu yang terjebak dengan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah dianggap sebagai satu penyakit mental dan amat membimbangkan kerana melawan fitrah.

Beliau berkata, fitrah kehidupan manusia normal ialah hidup berpasang-pasangan, iaitu lelaki dengan perempuan seperti diciptakan Allah SWT, malah LGBT jelas haram dan bertentangan ajaran Islam berdasarkan al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

“Melihatkan impak negatif gejala ini dalam masyarakat, Jawatankuasa Fatwa Selangor sudah mengambil inisiatif proaktif dengan memutuskan beberapa panduan hukum jelas bagi merungkai persoalan berkaitan isu LGBT,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Antaranya, Mohd Tamyes berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1993 memutuskan bahawa perkahwinan mak nyah selepas jantina ditukar kepada perempuan, dengan lelaki dikira haram kerana bertentangan syariat Islam dan bidaah.

Beliau berkata, mak nyah pada hakikatnya adalah lelaki dan antara syarat sah kahwin mestilah keadaan isteri terbabit perempuan secara yakin.

Selain itu, katanya, mesyuarat berkenaan memutuskan bahawa penukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah jelas bertentangan dengan lslam kerana Allah SWT melarang mengubah kejadian-Nya.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 18 Mac 2009 pula memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita berpenampilan dan memiliki gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, adalah haram di sisi lslam.

“Berdasarkan keterangan ini, Jabatan Mufti mengambil daya usaha awal menetapkan hukum jelas bagi mendidik dan memandu masyarakat lslam mengenai gejala itu.

“Kami berharap masyarakat lebih peka dan perlu penuh keimanan dalam memahami serta melaksanakan hukum diputuskan oleh ulama berautoriti di negara ini,” katanya.

Bersandarkan kebajikan dan kasih sayang dalam Islam supaya golongan berkenaan tidak terpinggir dan berasa seolah-olah didiskriminasi, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 telah memutuskan Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al Riqab Selangor serta yang berkaitan dengannya. 

Antaranya senarai penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al Riqab ialah golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup songsang termasuk pelacur, lesbian, mak nyah, gay, homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboi dan bersekedudukan dengan orang bukan Islam layak menerima bantuan zakat Al Riqab. 

Bagaimanapun, pada 13 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata, golongan LGBT lebih cenderung kepada menghadapi kecelaruan dan bukan dikategorikan sebagai pesakit mental. 

"Hasil ujian imbasan Pengimbas Imej Magnetik (MRI) dalam kalangan golongan LGBT mendapati berlaku kerosakan fizikal otak yang menyebabkan wujud kecelaruan. 

"Ini bukan penyakit, jadi jangan anggap semua LGBT itu sakit atau ada penyakit mental. Ia lebih kepada kecelaruan yang berbeza dengan keadaan normal," katanya di Dewan Rakyat. 

Tambah beliau, LGBT mempunyai kaitan dengan penyakit organik dan masalah hormon. Tindakan mengaitkan LGBT dengan sakit mental adalah satu tanggapan yang salah. 

Sumber: Berita Harian