'Ia boleh cemarkan nama baik kami' - Pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura buat laporan polis

Loading...

Pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani, 38, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah laman Facebook popular ekoran penyiaran gambar beliau dan para pelajarnya bagi laporan berita berkaitan sebuah kes liwat pusat tahfiz lain baru-baru ini. 

Memetik kenyataan beliau dari Pahang Daily, beliau berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil terhadap laman Siakap Keli kerana penggunaan gambar itu telah menjatuhkan maruah beliau dan tahfiznya. 

Laporan polis juga telah dibuat pada jam 6.00 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. 

Difahamkan, gambar asal telah disiarkan oleh portal Sinar Harian Online bagi laporan berita "Maahad Tahfiz Tak Akan Tutup". 


"Siakap Keli mahu memanaskan laporan berita kes terbabit dengan mencedok gambar tahfiz lain. Ia tidak wajar dilakukan sekiranya mereka benar-benar profesional. Apa saja boleh berlaku di zaman ini sebenarnya.

"Saya dan peguam akan mengadakan sidang media tentang kes ini nanti. Followers Siakap Keli mencecah 5.5 juta. Makanya tindakan menyiarkan gambar tahfiz kami terhadap isu berkenaan ternyata boleh mencemarkan nama baik Maahad Tahfiz Miftahul Qura," katanya. 

Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu pada jam 12.30 tengah hari 23 September lalu selepas dimaklumkan oleh rakannya, yang sebelum itu telah meminta pengendali laman berkenaan menurunkan gambar tersebut. Tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga laporan polis dibuat juga masih tiada sebarang tindakan. 


"Kes pengetua liwat pelajar tahfiz itu berlaku di Kepong, Selangor. Gambar yang disiarkan ialah tahfiz kami. Walaupun dikaburkan, tetapi ia jelas merujuk kepada pusat tahfiz saya. Ada dalam Google memaparkan pusat tahfiz ini, maka itulah laporan polis dibuat untuk tuntutan sivil," katanya.

Sementara itu, Siakap Keli memuat naik kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada pusat tahfiz berkenaan dan mengakui kesilapan pihaknya menggunakan gambar tersebut. 

Permohonan Maaf Terbuka Kepada Maahad Tahfiz Miftahul Qura

Pada 23 September 2018, Siakap Keli telah mengeluarkan satu berita bertajuk "Liwat Sembilan Pelajar, Pengetua Sebuah Pusat Tahfiz Ditahan" yang telah diterbitkan pada pautan https://siakapkeli.my/2018/09/23/liwat-sembilan-pelajar-pengetua-sebuah-pusat-tahfiz-ditahan/.

Artikel tersebut menyentuh berkenaan isu liwat yang melibatkan sembilan orang pelajar maahad tahfiz yang menggegarkan negara baru-baru ini. Bagaimanapun, kekhilafan berlaku di pihak Siakap Keli apabila tersilap menggunakan gambar maahad tahfiz lain menerusi carian Google, iaitu Maahad Tahfiz Miftahul Qura yang telah kami kaburkan seluruh gambar untuk elak timbulnya fitnah, sebagai gambar hiasan artikel berkenaan.

Penggunaan gambar tersebut di dalam artikel terbabit telah menyebabkan pihak yang berkenaan tersinggung. Sehubungan itu pihak Siakap Keli ingin memohon maaf kepada Maahad Tahfiz Miftahul Qura di atas apa yang berlaku dan telah mengambil langkah tambahan ketika pengolahan penulisan bagi mengelakkan perkara yang sama dari berulang.

Sekali lagi kami memohon maaf diatas kekhilafan ini dan pihak kami tiada sebarang niat untuk memalukan atau menjatuhkan bahkan memfitnah mana-mana pihak.

Harap pihak tahfiz dapat memaafkan kami. Sekian, terima kasih.