Jumlah pekerja di Johor mengalami masalah pendengaran (pekak) semakin meningkat

Loading...

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Saiful Azhar Mohd Saiz mendedahkan, masalah pekerja kehilangan pendengaran dikenal pasti sebagai penyakit yang paling ketara dan membimbangkan di negeri itu, lapor Harian Metro.

Sebanyak 700 penyakit pekerjaan dilaporkan di Johor sejak awal tahun sehingga kini dan JKKP Johor menjangkakan angka itu akan meningkat kepada 780 kes dalam tempoh empat bulan terakhir ini. 

Menurut Saiful, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada penyakit pekerjaan yang dilaporkan adalah kehilangan pendengaran yang berpunca daripada pencemaran bunyi ketika dalam pekerjaan. 

"Penyakit pekerjaan lain yang turut ketara dilaporkan termasuk kecederaan anggota badan dikenali sebagai penyakit otot rangka atau Muscular Skeletal Disorder (MSD).

"Kami yakin masih banyak kes belum dilaporkan dan berharap lebih ramai pekerja tampil melaporkan penyakit pekerjaan bagi membolehkan kami menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sesuai.

"Kami mengalu-alukan sektor perubatan termasuk hospital turut melaporkan kes berkaitan kepada JKKP," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), di Hospital KPJ Pakar Puteri Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini.