'Tanpa sedar, isteri telah mempersiapkan saya bagi menghadapi saat ini' - Air mata keluar seperti hujan, netizen sebak baca kisah bapa tunggal ini

Loading...

Setiap pasangan yang berkahwin sudah pastinya mengimpikan sebuah perkahwinan yang kekal bahagia hingga ke akhirnya tetapi sekuat mana kita menyayangi seseorang, sampai masa kita terpaksa redha jika ajalnya sudah tiba.

Bukan senang untuk menjadi seorang bapa tunggal kepada tiga orang anak yang masih kecil. Tanpa disedarinya, isterinya telah mempersiapkan segala-galanya sebagai persediaan kepada suaminya sebelum menutup mata. Tetapi, insan ini lelaki yang hebat dan dirinya juga telah bersiap sedia mengambil tugas arwah isterinya. 

Awal Ogos yang lalu, isterinya telah meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan organ. Isterinya telah meninggalkan 3 orang anak lelaki, Khaleef, 4 tahun, Khaleel, 2 tahun, dan Khaleed, 7 bulan. 

SAYA bernasib baik. Tanpa sedar, isteri telah mempersiapkan saya bagi menghadapi saat ini.

Saya sering diajak untuk mengemas rumah bersama. Saya vakum, dia mop. Saya susun buku, dia lap meja, saya cuci toilet, dia kemas katil dan seterusnya begitulah. Rutin mengemas diganti-ganti. Jadi saya tahu dan pernah buat kesemuanya.

Adakah dia sedang mempersiapkan saya?

Dia sering inginkan masakan yang dimasak di rumah. Keistimewaanya adalah memasak lauk pauk. Namun saya sering diminta masak masakan lain seperti laksa, segala jenis mee dan juga kek. Itu kebolehan saya.

Ketika dia mengandungkan Khaleef, kami jauh di perantauan. Memang tak ada peluang nak menikmati segala masakan sewaktu bulan puasa. Macam-macam diinginkan dan habis segalanya saya kena masak, dari murtabak ke roti jala, dari sate sehingga ke soto dan segala jenis masakan.

Lalu saya handal memasak. Saya champion. Saya boleh memasak apa sahaja. Memang dia sedang mempersiapkan saya.

Anak sulung kami, Khaleef, sayalah yang menjaganya sejak di hospital lagi. Nurse memanggil saya untuk mengajar cara menguruskan bayi seperti membasuh berak, memandi dan memakaikan lampin. 

Di Jerman memang begitu, suami harus belajar menguruskan anak. Kebetulan saya seorang freelance yang mempunyai kontrak pekerjaan secara fleksible. Peluang tersebut saya ambil untuk memjaga Khaleef sepenuh masa.

Jadi saya belajar dan praktik lalu jadi pandai apabila melakukannya setiap hari. Saya sangat cekap dan tidak kekok menguruskan bayi.

Masuk anak kedua, saya bertambah pandai. Masuk anak ketiga, maka saya dah jadi champion. Memang dia sedang mempersiapkan  saya.

Anak-anak diajar untuk duduk di dalam carseat sejak hari pertama keluar dari hospital. Walaupun anak menangis, dia tidak mahu mengambilnya walaupun saya suruh begitu. Katanya anak harus dididik, nanti mereka tiada disiplin. Walaupun kesian melihat anak menangis namun dia mahu hati saya keras di dalam mendisplinkan anak. Memang benar, dia sedang mempersiapkan  saya.

Apabila berseorangan begini, menguruskan anak ke sekolah atau ketika keluar dari rumah ianya sangat membantu. Bayangkanlah kalau anak jenis tak duduk dalam carseat? Macam mana saya nak bawa baby? Macam mana dengan si abang dan adik yang bakal melompat dan bergaduh di belakang? Pasti menganggu tumpuan pemanduan saya.


Jadi saya bernasib baik. Semua yang saya belajar, amalkan dan didik pada anak-anak rupanya sangat berguna untuk saya hari ini. Sememangnya dia sedang mempersiapkan  saya.

Katanya kami perlu ada dryer di rumah. Tak perlu lagi jemur pakaian. Nanti dengan anak yang bertambah, jumlah pakaian bertambah dan kerja nak membasuh jadi semakin berat. Dan memang benar. Kerja-kerja laundry jadi sangat mudah. Namun kerja melipat dan menyusun masih lagi berat. Dia tidak mahu saya buat katanya saya seringkali gagal mengikut prosedur dan spesifikasi yang telah dia tetapkan.

Namun dia sering mengajak saya meneman dia ketika melipat dan menyusun pakaian. Yang pakaian begini harus disusun begini di dalam almari ini. Yang ini pula harus begini dan seterusnya. Semuanya bersistem dan ianya sangat memudahkan.

Dan hari ini, walaupun adik yang datang ke rumah tolong melipat pakaian, ianya tetap disusun seperti sistem yang telah ditetapkan. Mudah untuk saya mencari pakaian terutaman pakaian anak-anak yang saya perlu siapkan setiap pagi.Sememangnya dia telah mempersiapkan  saya. 

Beberapa minggu sebelum pemergiannya dia ada memberitahu saya tentang fail-fail setiap urusan rumahtangga dari fail anak-anak, schedule vaksin, akaun bank, akaun Tabung Haji, di mana letaknya segala dokumen dan pelbagai maklumat pengurusan kewangan yang perlu saya tahu.

Alhamdulillah, hari ini semuanya saya tahu. Semuaya tersusun kemas di dalam fail dan di dalam rekod Excel yang dia buat. Semua login serta password akaun media sosial, perbankan, email dan sebagainya saya tahu. Dengan mudah saya menutup semua akaun media sosial beliau dan juga akses ke akaun perbankan dan akaun-akaun online yang lain.

Akhirnya, memang saya telahpun bersedia.

Pemergiannya sangat mengejutkan. Saya dan anak-anak sentiasa redha yang jodoh kami dengannya hanya setakat itu sahaja. Hidup perlu diteruskan bagi menunaikan amanahnya.

Ramai orang kagum bagaimana saya melakukannya. Seorang lelaki yang perlu menjaga 3 anak kecil yang seorangnya masih lagi bayi.

Bolehkah dia tukar lampin? Bolehkah dia beri susu? Bolehkah dia beri makan? Bolehkah dia tidurkan anak-anaknya? Bolehkah itu, bolehkah ini dan macam-macam lagi. Yer, saya boleh. Ini kerana saya telahpun bersedia. Terima kasih wahai sayang. Terima kasih.

Adakah anda semua sudah bersedia?

#diariseorangsuperdaddy