'Air paip selamat untuk terus diminum' - Menteri

Loading...

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar memberi jaminan bahawa air paip di negara ini selamat untuk terus diminum.

Menurut beliau, jika ada masalah ia bukan berpunca daripada loji rawatan air.

"Memang air yang keluar dari paip boleh diminum di seluruh negara, tak ada masalah. Kalau ada masalah, itu masalah tempatan bukan sebab loji.

"Air yang keluar dari loji-loji yang kita ada di seluruh Malaysia 100 peratus boleh diminum," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Ismail ingin penjelasan mengenai kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu sudah tiba masanya air paip di negara ini selamat diminum.

Ketika ditanya Ismail sama ada Xavier sendiri minum air dari paip, menteri itu mengakuinya.

"Memang saya minum terus dari paip," katanya. - Sinar Harian