Berang dengan orang sebelah, jiran bina tembok depan rumah

Loading...

Penghuni di sebuah rumah di Desa Sudimoro, Kabupaten Jombang, Jawa Timur, terkurung gara-gara tembok yang dibina oleh jirannya sejak Februari 2018. 

Rumah tersebut didiami oleh pasangan suami isteri, Siti Khotijah, 35, dan Abdul Karim, 40, bersama dengan seorang anak mereka sejak tahun 2006. 

Difahamkan, tanah itu adalah tanah pemberian orang tua Siti dan dibina rumah untuk dijadikan tempat tinggal tetap selama bertahun-tahun tidak pernah mengalami sebarang masalah dengan jiran di sekeliling. 

Sehinggalah enam bulan lalu apabila Siti mencuci kenderaan miliknya di depan rumah. Air cucian mengalir masuk ke halaman rumah jirannya yang kemudian mencetuskan pertengkaran. 

Ekoran dari kejadian itu, jiran terbabit membina tembok setinggi satu meter dengan lebar enam meter di hadapan rumah Siti. 

Tembok yang dibina dengan batu bata merah, simen dan pasir itu berdiri tegak di hadapan pintu rumah Siti sehingga mengganggu jalan keluar masuk ke rumah. 

"Pada awalnya, saya tidak menyangka dia akan membina tembok di sini," katanya. 

Meskipun kesal dengan tindakan jirannya itu, Siti dan keluarganya terpaksa melalui ruang sempit itu setiap hari. 


Difahamkan, pihak berkuasa juga terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan masalah dua pihak berkenaan, namun menemui kegagalan kerana jiran berkenaan mendakwa tanah yang diduduki Siti dan keluarganya itu adalah tanah miliknya. 

Kes itu menjadi berlarutan dan memaksa pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu. 

Sementara itu, jiran berkenaan mendakwa dia membina tembok itu kerana berasa jengkel dengan sikap Siti yang juga kerap kali menyebut tanah itu adalah tanah milik orang tuanya. Padahal tanah itu adalah miliknya. 

"Awal-awal lagi dia terus cari pasal dengan saya. Saya berasa jengkel apabila dia sering kali mengata saya sebagai pencuri tanah. Bukan sebulan dua, tapi sampai tujuh bulan," katanya. 

Jirannya itu bagaimanapun tiada masalah untuk merobohkan semula tembok itu tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Siti sekeluarga. - Kompas.com