Berang ditegur, anak kerat bapa 6 bahagian

Loading...

Seorang lelaki warga emas dibunuh sebelum dikerat kepada enam bahagian termasuk kepalanya dipenggal oleh anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Kanthan Baru, Ipoh, hari ini, lapor Harian Metro. 

Mayat mangsa, You Su Kim, 74, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu dalam sebuah tangki kumbahan sedalam 1.5 meter dan di lubang yang digali di belakang rumah mangsa. 

Kejadian itu hanya disedari oleh anak perempuan mangsa pada jam 9 pagi hari ini selepas dia menemui beberapa kesan darah di tilam, bantal dan dinding rumah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, pihaknya telah menahan suspek yang merupakan anak lelaki mangsa berusia 52 tahun pada jam 1.30 tengah hari. 


"Suspek yang ditahan kemudian menunjukkan senjata iaitu sebilah parang panjang berukuran 0.6 meter yang dipercayai digunakan untuk memotong tubuh mangsa.

"Senjata itu ditemui dalam bilik di rumah terbabit dan terdapat kesan darah," katanya. 

Terdahulu, jiran ada memaklumkan bahawa mereka terdengar pergaduhan di antara mangsa dan anak lelakinya pada malam tadi. 

Suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas beberapa kali dimarahi oleh bapanya kerana menghisap syabu dalam rumah. Ketika kejadian, suspek juga disyaki berada dalam keadaan khayal apabila melakukan jenayah kejam itu. 

Menurut Yahya, kedua-dua tangan dan kaki mangsa yang dikerat serta kepala yang dipenggal ditanam dalam lubang yang digali suspek berhampiran pagar di belakang rumah. Bahagian badan mangsa pula dibuang ke dalam tangki kumbahan. 


Polis percaya mangsa dibunuh sekitar jam 12 tengah malam dan seorang daripada anak perempuan mangsa yang tinggal berhampiran mendakwa ada mendengar bapa serta abangnya bertengkar pada jam 8 malam. 

Sementara itu, seorang anak perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yong berkata, dia ke rumah bapanya untuk memeriksa keadaan bapanya susulan bimbang dengan pertengkaran yang berlaku malam tadi.

“Sebaik masuk ke dalam bilik bapa saya lihat kesan darah pada tilam serta bantal dan curiga dengan keadaan itu, saya meminta bantuan jiran untuk mengesan bapa sebelum menemui kesan korekan tanah di bahagian belakang rumah.

“Bapa sakit tua dan lumpuh, manakala adik lelaki (suspek) ditugaskan menjaga bapa sejak beberapa tahun lalu dan mereka tinggal berdua sahaja di rumah berkenaan,” katanya.

"Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat," katanya.