'Jadi PM atau tidak, saya tetap sokong Anwar' - Nazri

Loading...

"Saya sokong Anwar, saya sentiasa jadi penyokong Anwar. Saya penyokong kuatnya, sama ada beliau menjadi Perdana Menteri atau tidak, saya akan tetap menyokong beliau," demikian tegas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 

Nazri yang sebelum ini lantang mengkritik Pakatan Harapan (PH) ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, mengakui dia sentiasa ada bersama Anwar ketika susah atau senang. 

"Saya adalah kawan dia, sama ada waktu susah atau senang. Malah ketika saya menjadi menteri dulu, saya hadir pada majlis perkahwinan Nurul Izzah sebagai tetamu. 

"Saya masih menyokong Anwar, cuma saya tetap bersama UMNO," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen semalam. 

Nazri sebelum ini juga pernah menyuarakan sokongan terhadap Anwar secara terbuka ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson. Namun, UMNO tidak mengambil tindakan terhadap beliau. 

Walau bagaimanapun, Nazri menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan UMNO dan kini sedang menyesuaikan diri menjadi pembangkang.

"Saya tidak akan meninggalkan UMNO. Saya cuba menyesuaikan diri menjadi pembangkang. Tapi kamu sendiri tahu, ia mengambil sedikit masa," katanya.