Langgar lari, 3 lelaki Arab dan seorang wanita dari Sabah ditangkap

Loading...

Susulan kejadian kes langgar lari yang menyebabkan mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, meninggal dunia malam kelmarin, polis telah menahan empat suspek termasuk seorang wanita berasal dari Sabah. 

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Ali berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menahan seorang lelaki Yemen berusia 22 tahun di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai Seri Kembangan. 

Dua lelaki warga Libya berusia 24 dan 20 tahun ditangkap di Cyberjaya dan juga seorang wanita berusia 32 tahun berasal dari Sabah turut ditahan. 

Kereta Hyundai berwarna silver yang dipercayai terlibat dalam kes itu turut dirampas. 

Kesemua suspek yang ditangkap adalah penuntut di universiti antarabangsa di Cyberjaya dan salah seorang suspek yang ditangkap mengaku memandu kereta itu ketika kejadian. 

Dalam kejadian jam 7.34 petang kelmarin, Wan Amirah parah dirempuh dan diseret kereta yang dipandu suspek di hadapan bangunan kedai Shaftbury. Suspek terdahulu merempuh beberapa kenderaan lain sebelum merempuh mangsa dan terus melarikan diri. 

Difahamkan, suspek sebelum itu berang ditegur oleh pengawal keselamatan kerana meletakkan kereta di tempat letak kereta OKU, lalu bertindak memandu secara melulu. 

Sumber: Harian Metro