Mahkamah benarkan pembatalan sijil perakuan agama Islam anak

Loading...
Peguam mewaikili bekas isteri, Rohani Ibrahim (kiri) dan peguam bagi Pendaftar Pertubuhan Muslim Wilayah Persekutuan, Zulkifli Che Yong (kanan) bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Duta. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan seorang bapa beragama Buddha untuk membatalkan sijil perakuan agama Islam dua anak yang dibuat bekas isterinya.

Datuk Azizah Nawawi dalam keputusannya membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh bapa berusia 46 tahun yang mencabar penukaran agama anak perempuannya yang berusia 10 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun.

Beliau berkata, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini iaitu dalam keputusan kes M Indira Gandhi.

Malah, katanya, tiada pertikaian kerana penukaran agama kanak-kanak itu dibuat tanpa kebenaran ibu dan bapa.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan nama kedua-dua kanak-kanak itu dikeluarkan daripada senarai Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan manakala tiada perintah berhubung kos dibuat.

Mahkamah tidak membenarkan nama kedua ibu bapa dan dua kanak-kanak itu didedahkan kepada umum.

Bapa diwakili peguam K Shanmuga manakala ibu kanak-kanak itu yang berusia 42 tahun diwakili peguam Rohani Ibrahim dan Zulkifli Che Yong.

Pada 14 Jun 2016, lelaki itu (bapa) memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah certiorari supaya kad perakuan masuk Islam bagi dua anaknya dibatalkan serta-merta.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan ibu kanak-kanak itu sebagai responden.

Antara lain, lelaki itu turut memohon perintah mandamus supaya Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pendaftar Mualaf membatalkan serta-merta pendaftaran kedua-dua anaknya sebagai mualaf dalam rekod daftar mualaf.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 23 Disember 2006 sebelum memfailkan petisyen perceraian pada 11 Mei 2016 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bekas isterinya sudah memeluk agama Islam pada 29 Disember 2015 sebelum menukar agama anak-anaknya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 11 Mei 2016.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny,21, Karan Dinish,20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Mahkamah ketika itu memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf. - Berita Harian