Rugi RM12,416, syarikat katering lesap sehari sebelum majlis kahwin

Loading...

Rugi RM12,416, seorang lelaki membuat laporan polis selepas ditipu oleh sebuah syarikat katering yang menggunakan artis sebagai duta, lapor Harian Metro

Azizul Mohd Sohor, 55, terpaksa menggunakan khidmat syarikat katering lain bagi melangsungkan majlis perkahwinan anak sulungnya, Muhammad Syafiq, 28, yang diadakan di kediaman mereka di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu. 

"Perancangan kami untuk melaksanakan majlis perkahwinan anak sulung dengan meriah berkecai apabila ditipu syarikat katering itu.

"Mujurlah kami dapat tahu sehari sebelum majlis berlangsung dan dapatlah kami tempah makanan daripada pihak katerer lain untuk dihidangkan kepada tetamu," katanya.

Bagi meneruskan majlis itu, mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan RM9,000 bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan seperti yang dirancang kerana semua tetamu sudah dijemput. 

Azizul berkata, dia mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat syarikat katering itu kerana sebelum ini jirannya pernah mendapatkan khidmat syarikat tersebut. 

"Kami berhubung dengan kakitangan syarikat terbabit pada Julai lalu dan hasil persetujuan bersama, kami membuat pembayaran RM12,416 bagi pakej makanan, peralatan kerusi meja, khemah, audio dan jurugambar.

"Bagaimanapun sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung, kami dihubungi oleh individu yang menyediakan khidmat khemah dan mereka memaklumkan tidak dapat menghantar peralatan berkenaan kerana pihaknya tidak menerima bayaran daripada syarikat itu.

"Susulan itu, saya menghubungi kakitangan syarikat terbabit yang dikenali sebagai Aisyah dan dia maklumkan akan hubungi saya kembali selepas berbincang dengan majikannya.

"Namun dia tidak menghubungi saya kembali dan gagal dihubungi membuatkan saya bersama keluarga terpaksa mendapatkan khidmat katering lain dengan bayaran RM9,000 untuk memastikan majlis dapat dilaksanakan," katanya.

Ekoran kejadian itu, Azizul telah membuat laporan di Balai Polis Nilai kelmarin untuk tindakan lanjut. 

"Saya difahamkan premis syarikat terbabit juga sudah dikosongkan dan pemiliknya menghilangkan diri.

"Malah ramai pelanggan sudah membuat pembayaran dengan syarikat berkenaan dan kami harap syarikat terbabit dapat membayar kembali wang yang diserahkan pelanggan.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat mengesan pemilik syarikat terbabit untuk dikenakan tindakan undang-undang berkenaan kerana menipu," katanya.


Ahad lalu, Harian Metro melaporkan puluhan pasangan pengantin di lima negeri menjadi mangsa penipuan syarikat katering berkenaan dan antara yang menjadi mangsanya ialah pasangan Fatin Fatihah Yusof, 26, dan Mohamad Shahir Mohd Jamani, 27, mengalami kerugian RM18,000 selepas syarikat berkenaan menghilangkan diri sehari sebelum majlis berlangsung. 

Keadaan itu menyebabkan pengantin dan keluarga terpaksa mencari dan menggantikan katering lain pada saat akhir dan terpaksa mengeluarkan belanja RM15,000.

"Saya cuba menghubungi syarikat itu banyak kali tetapi tiada sesiapa yang menjawabnya dan nombor saya terus disekat. Kami ke syarikat itu dan mendapati premis berkenaan sudah kosong, manakala lori ditarik oleh syarikat penghutang," kata Fatin.