'The Star perlu minta maaf atau berdepan tindakan tegas' - SU Akhbar Datuk Mujahid

Loading...

Mohon maaf secara terbuka atau tindakan lebih tegas dalam masa 24 jam, demikian kata Siti Zulaikha Zulkifli, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Hal Ehwal Islam, Datuk Mujahid Yusof Rawa, yang kesal dengan tindakan pihak The Star mengambil kenyataan menteri itu di luar konteks. 

"Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada menteri. 

"Saya menggesa pihak The Star memohon maaf secara terbukan kerana menulis laporan yang salah sehingga menyebabkan kekeliruan dan permohonan maaf itu perlu disiarkan di akhbar berkenaan serta di portal mereka.

"Sekiranya perkara ini tidak dibuat dalam masa 24 jam, tindakan lebih tegas akan diambil," katanya. 

Zulaikha menegaskan, Mujahid tidak pernah menuturkan beberapa perenggan dalam laporan berita The Star berjudul 'No More Moral Policing' bagi penerbitan berita bertajuk, 'No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives saya Mujahid', sebaliknya ia hanyalah tafsiran penulis artikel itu semata-mata. 

“No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings.”

Malangnya laporan itu telah diterbitkan dan viral di media sosial sehingga  menimbulkan pelbagai reaksi kurang baik di kalangan umat Islam. Lebih teruk lagi, ramai yang menuduh Mujahid menggalakkan maksiat. 

Terdahulu, Mujahid juga telah mengeluarkan kenyataan penafiannya dan berkongsi transkrip penuh wawancara itu di Facebooknya. 


"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).

"Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan di ruang awam dengan ruang peribadi dan mengenai salah guna kuasa serta pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam. 

"Jika ada kebimbangan dan sebagainya, barulah boleh diambil tindakan. Itu pun dengan kaedah mematuhi undang-undang," katanya. 

Mujahid juga meminta semua pihak berhenti dari memanipulasi kenyataannya, seolah-olah beliau menyokong perlakuan maksiat. 

"Dosa tetap dosa walaupun secara awam atau senyap-senyap. Bezanya ialah atas konteks penguatkuasaan kerajaan. Kita hanya utamakan penguatkuasaan yang boleh 'menceroboh' ketenteraman awam. 

"Soal dosa peribadi, ia tetap berdosa. Cuma dalam soal kerajaan, kita tidak akan campur tangan dan serahkannya kepada Allah. 

Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, TV Alhijrah