Tiada cadangan wajibkan ibu bapa pastikan bayi terima suntikan imunisasi - KKM

Loading...

Kementerian Kesihatan tidak bercadang mewajibkan ibu bapa memastikan bayi mereka menerima suntikan imunisasi.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya buat masa ini kementerian hanya berusaha menambah baik sistem penjagaan kesihatan.  

“Kita tidak boleh memaksa ibu bapa. Kita bimbang sebab memang ada sesetengah ibu bapa yang menganggap pelalian itu ada kesan-kesan sampingan tetapi kita juga ada bukti-bukti saintifik bahawa pelalian untuk difteria adalah efektif dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kardiovaskular Perak anjuran Persatuan Kardiovaskular Ipoh yang disertai kira-kira 300 peserta, di sini hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, seorang bayi perempuan berusia 14 bulan meninggal dunia disyaki akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan pelbagai organ di Johor Bahru, Johor.

Kanak-kanak itu dilaporkan tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana tidak dibenarkan keluarganya. - Bernama