'Trauma nak makan sebelum naik bas - sakit dapat, malu pun dapat'

Loading...

"Sejak hari itu, memang 'trauma' dah nak makan sebelum naik bas ekspres"

Lagi empat jam untuk sampai ke destinasi kot, tapi tali perut ini tiba-tiba macam dipintal-pintal kat dalam. Bersama rasa senak, memulas-mulas dan panik yang bercampur baur penulis melafazkan taubat tak mau lagi dah makan di kedai yang tak terjamin kebersihannya lepas ini.

Nasi Lemak Punca Trauma 

Ya, kebanyakan kita memang biasa mengalas perut dahulu kerana sedia maklum sebaik sahaja bas beredar dari platform, tak ada pramugari yang akan datang bertanyakan menu pilihan. Mahu tak mahu tunggulah driver bas berhenti rehat di pertengahan destinasi tak kiralah jika angin gastrik sudah naik ke kepala.   

Bagaimanapun, ada masalah lain yang lebih parah daripada kelaparan dalam bas perlu dipertimbangkan juga. Apa akan jadi kalau tersilap makan hingga perut meragam nanti? Sesungguhnya tak kiralah senak macam mana pun yang dirasakan, untuk bangun dari seat dan pergi berbisik ke telinga pemandu bas untuk mengharapkan pengertian daripadanya nyata jauh lebih menakutkan dari pertama kali nak minta izin cikgu untuk ke tandas masa darjah 1 dulu. Kau rasa..? 

Maka sebelum terminal bas berpusat di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, penulis merupakan antara pengguna bas ekspres yang rela menahan lapar demi mengelak risiko menanggung azab di kemudiannya. Maklumlah ketika itu banyak kedai-kedai makan dekat terminal bas boleh diragui kebersihannya. 

Pernah sekali gara-gara makan nasi lemak sebelum naik bas, perut meragam sampai satu bas terpaksa menunggu di tepi semak. Sakit dapat.. malu tak usah ceritalah. Tak cukup dengan itu, ditambah lagi pakej terlantar dua hari sampai hilang terus kegembiraan nak habiskan cuti semester di kampung. 

Kata doktor, puncanya keracunan makanan. Sejak itulah memang berpada-pada nak makan di tempat yang tak tentu kebersihannya terutama sebelum perjalanan jauh menaiki bas ekspres. Serik!


Semak Logo Baru Yakin

Bagaimanapun sejak terminal bas ekspres dipindahkan ke TBS, trauma untuk makan sebelum naik bas yang dialami semakin pulih. Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) kerana mewujudkan pensijilan BeSS. 

Jadi, penulis tak perlu lagi was-was dan terpaksa meninjau dapur premis makan untuk periksa tahap kebersihannya. Kini apa perlu dilakukan cuma periksa sama ada tempat makan itu ada logo BeSS atau tidak. Jika ada, maka sah makanan yang dijual benar-benar selamat untuk dijamah. 

BeSS itu sendiri mewakili akronim (BERSIH, SELAMAT dan SIHAT) iaitu merujuk kepada pengiktirafan yang diberikan kepada pengusaha premis makanan yang telah memenuhi kriteria-kriteria ketat yang ditetapkan KKM.

Sebelum boleh menampal logo BeSS di premis mereka, para pengusaha makanan perlu melalui proses penilaian oleh pegawai BKKM. Sekiranya terdapat perkara yang perlu diperbetulkan, maka mereka akan dibimbing secara percuma sehinggalah pengiktirafan layak diberikan. 

Rugi Peniaga Kalau Tak Apply Bess, Ini Sebabnya

Walaupun pensijilan BeSS dilihat dapat menjaga kepentingan pengguna, Dr. Alvin Lim Boon Yew yang menguruskan Medan Selera Teratai di TBS berpendapat, ia sebenarnya turut menguntungkan peniaga. Katanya sejak memiliki logo BeSS, beliau dapat melihat pengunjung semakin yakin dengan kualiti makanan yang dijual di medan selera terbabit.

“Pada tahun lepas, pegawai dari KKM datang dan mengesyorkan agar kami ambil BeSS. Setelah diteliti, saya dapati kriteria yang ditekankan bagi mendapatkan pensijilan ini sangat bagus.

“Sebelum itu, mereka meninjau keadaan premis dan beritahu bahagian mana yang kurang. Seterusnya mereka membimbing kami dari awal hinggalah berjaya. 

“Mereka juga hantar setiap penyewa di Medan Selera Teratai menghadiri latihan penyediaan makanan yang bersih, selamat dan sihat,” ujarnya.




Tambah Dr Alvin, banyak ilmu dapat diperolehi terutama tentang cara penyimpanan bahan-bahan mentah.

“Antaranya bahan mentah perlu diasingkan ikut kategori. Suhu dalam peti sejuk juga perlu diselaraskan dengan betul,” katanya.

Beliau menambah, para peniaga turut dididik bahawa bukan sahaja makanan tetapi apron turut memainkan peranan penting dalam penyediaan makanan yang bersih, selamat dan sihat. Pemakaian apron berwarna cerah dan tidak mempunyai saku dapat mengelak kotoran terkumpul di dalamnya. 



“Setelah segala kekurangan diperbaiki, barulah pengiktirafan BeSS diberikan dan boleh digantung di dinding premis kami,” katanya.