(Video) Budak perempuan maut dilanggar van

Loading...

Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun maut dilanggar van yang dinaikinya selepas melintas di depan kenderaan itu. 

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di Jalan Temenggung 4, Taman Tun Aminah, Skudai, Johor, mangsa, Janiss Yeoh Zi Xuan, 5, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa melintas di depan untuk ke rumah neneknya dan tanpa disedari pemandu van yang kemudian terus bergerak lalu melanggar mangsa sehingga terjatuh dan digilis tayar.

Panik dengan kejadian itu, pemandu berkenaan terus mendapatkan keluarga mangsa sebelum dia masuk ke dalam kenderaan untuk mengundurkan vannya ke belakang. Neneknya kemudian keluar dari pagar lalu mengangkat cucunya itu masuk ke dalam rumah.  


"Selepas dilanggar, mangsa telah dibawa ke klinik berhampiran oleh pemandu van dan seterusnya dibawa ke HSA kerana mengalami kecederaan parah. 

"Selepas mendapat rawatan di HSA, lebih kurang sejam mangsa disahkan meninggal dunia," katanya. 

Ketika kejadian, van itu membawa lima orang penumpang kanak-kanak. 

"Pemandu van itu, A Kalai Devi, 48, telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi. 

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.