(Video) Kedai emas rugi RM500,000 dirompak 3 penjenayah

Loading...

Dalam tempoh kurang dari dua minit, tiga penjenayah bersenjatakan 'pistol' dan tukul besi berjaya melarikan barang kemas bernilai RM500,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Bangi Avenue, 12 Oktober lalu, lapor Kosmo. 

Dalam kejadian jam 1.47 petang itu, dua suspek berpakaian serba gelap datang memecahkan cermin kaunter pameran menggunakan tukul besi, sementara seorang lagi suspek menunggu di bahagian luar premis tersebut.  

Difahamkan, premis itu telah disamun kali kedua semenjak beroperasi di situ dua tahun lalu dan kejadian pertama berlaku pada awal tahun ini. 

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), salah seorang suspek yang memegang senjata menyerupai pistol mengarahkan dua pekerja berkenaan menghulurkan barang kemas di kaunter pameran. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kesemua penjenayah terbabit mengambil masa kurang dua minit sebelum melarikan barang kemas yang bernilai RM500,000.

"Menurut laporan, terdapat dua pekerja wanita berada di premis berkenaan ketika kejadian. Bagaimanapun mereka tidak mengalami kecederaan.

"Hasil rakaman Televisyen Litar Tertutup (CCTV) mendapati, suspek meloloskan diri menggunakan dua buah motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftaran,” katanya.