(Video) Wanita maut dirempuh suspek yang berang ditegur jangan park di parkir OKU

Loading...

Seorang wanita berusia 31 tahun maut akibat parah dirempuh dan diseret kereta yang dipandu oleh suspek yang dipercayai warganegara asing dalam kejadian petang semalam. 

Dalam kejadian jam 7.34 petang semalam di hadapan bangunan kedai Shaftbury Cyberjaya, mangsa, Wan Amirah Wan Alias, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya, pada jam 4 pagi tadi. 

Menurut polis, mangsa dirempuh sebuah kereta model Hyundai nombor pendaftaran BHS 7999 dan pemandunya bertindak melarikan diri selepas kejadian itu. 

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga viral di media sosial menunjukkan suspek terdahulu merempuh beberapa buah kereta di lokasi. 
Polis kini sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kereta tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. 

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Asnah Shamsuddin, 45 berkata, Wan Amirah baru sajap ulang dari kerja dan singgah di sebuah kedai di kawasan itu untuk membeli makanan sebelum pulang ke rumah di kawasan berhampiran. 

"Dia hanya ke situ untuk beli roti tapi dilanggar lari pula oleh orang tak bertanggungjawab. Saya diberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki warga asing yang berang selepas pengawal keselamatan di situ tidak membenarkannya parkir di petak parkir orang kurang upaya (OKU).


"Disebabkan tu, lelaki tersebut memandu keluar kereta jenis Hyundai dalam keadaan marah sebelum merempuh beberapa kenderaan lain dan melanggar anak saudara saya yang turut berada di situ.

"Memang terkejut sangat bila dapat berita yang menimpa anak saudara saya itu. Tambah lagi dia jadi mangsa keadaan akibat sikap pentingkan diri serta perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain. Saya harap pelaku dapat ditangkap cepat dan menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya," katanya.