15 tahun gagal dapat zuriat, suami ceraikan isteri pertama selepas berkahwin dengan isteri kedua

Loading...

Dulu si suami berkata dia tidak kisah soal anak dan apa yang penting adalah si isteri sentiasa berada di sisi. Malah berjanji tidak akan mencari yang lain. Namun, mulut hanya sekadar mengungkapkan janji tetapi lama kelamaan janji hanya tinggal janji. 

Tidak salah berpoligami, tetapi janganlah sampai teraniaya isteri pertama sedangkan itulah wanita yang setia bersama suami sehingga redha dengan kemahuan suami yang mahu berpoligami. Hancur hati isteri apabila dilakukan sebegini oleh si suami. Manfaatkan perkongsian dari Wan Nurul Hani.

SI SUAMI datang ke mahkamah untuk memohon kebenaran poligami. Sebab? Isteri tak mampu bagi zuriat selepas 15 tahun perkahwinan. Manalah tidak hancur hati si isteri bila si suami beralasan sedemikian, sedangkan selama ini doktor dah sahkan kedua-duanya tiada mengalami masalah kesihatan. 

Si isteri pernah memberi cadangan kepada si suami untuk mengambil anak angkat, namun ditolak mentah-mentah oleh si suami. Siap berjanji bulan bintang bagai cukuplah si isteri ada dengannya dan dia tidak kisah soal anak dan tidak akan berpaling lain. 

Itulah orang cakap, jangan disangka panas sampai ke petang. Atas permohonan suami nak berpoligami itu, maka redhalah si isteri. Si suami siap berjanji akan berlaku adil kepada kedua-dua isterinya. Siap berjanji kasih sayang kepada isteri pertama tidak akan pernah berkurangan. 

Si suami pun berkahwin dengan isteri baru, yang lebih muda dari isteri pertama dan yakin isteri muda mampu memberikan zuriat kepada dia. Ditatang isteri muda bagai minyak yang penuh, isteri permata sudah mula diabaikan, banyak lebihkan isteri kedua. 

Takdir dan kuasa Allah tiada siapa pun mampu menolak. Baru beberapa bulan perkahwinan baru si suami dengan isteri kedua, isteri pertama disahkan mengandung terlebih dahulu sebelum isteri kedua. 

Tetapi yang anehnya, si suami langsung tidak mengambil endah isteri pertama yang sedang mengandungkan zuriat dia sedangkan itulah zuriat yang ditunggu selama 15 tahun berkahwin, sedangkan itulah alasan terbesar suami buat untuk berpoligami dulu. 

Diabaikan isteri pertama yang tengah mengalami alahan teruk. Janji hanya tinggal janji. Kesudahannya, si suami ceraikan isteri pertama yang sarat mengandung itu tanpa ada lagi rasa kasih sayang dan belas ehsan. Tegarnya kau wahai lelaki. 

Allah anugerahkan kepada si isteri seorang anak lelaki sebagai penganti suami. Semoga anak ini akan menjadikan ibunya sebaik-baik wanita yang perlu dihargai. 

Tuan Hakim selalu berpesan kepada lelaki-lelaki yang datang untuk memohon kebenaran berpoligami: 

"Walaupun poligami itu suatu sunnah, tetapi tanggungjawabnya sangat besar dan berat. Jadikan poligami itu makin dekatkan diri kita kepada Allah. Bukan makin menjauhkan diri kita dan buat kita lalai. 

"Di padang masyar nanti, akan ada satu golongan yang berjalan tempang, senget sebelah. Siapakah golongan itu? Itulah lelaki yang berpoligami tetapi tidak adil dan tidak bertanggungjawab menganiayai isteri-isteri dan anak-anak."