KKM rampas produk ubat kuat, disyaki mengandungi racun penyebab serangan jantung

Loading...


Bertindak mengikut aduan awam, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merampas produk yang disyaki tidak berdaftar dan dicampur palus dengan racun slidenafil dan tadalafil bernilai RM300,000 dalam serbuan yang dibuat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) di lapan premis pengedar dan penjual di Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu pada 1 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisa kimia yang dijalankan terhadap dua sampel diperolehi di pasaran, dikesan mengandung racun. 

Produk tersebut adalah produk Kama-Max Booster with Extract Ginseng (racun sildenafil) dan Kopi LPG (racun tadalafil).

Sildenafil dan tadalafil adalah sejenis racun kumpulan B yang hanya boleh digunakan melalui preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar. Apabila diambil tanpa nasihat profesional kesihatan, boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti serangan jantung yang boleh membawa maut.

"Turut ditemui ialah produk yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM iaitu Gambir Emas Performance Gel dengan Estrak Ginseng, Gambir Emas Performance Gel, G.E Herbs Performance Oil dan Kama-Max Performance Spray," katanya.







Susulan itu, semua produk dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Akta Jualan Dadah 1956 dan Akta Racun 1952.  Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.

Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 manakala bagi produk yang dicampur palsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali..

KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk berkenaan untuk menghentikan semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. 

Sumber: Harian Metro