Malas bangun, bapa tuang diesel dan bakar katil anak

Loading...

Puas dikejutkan berkali-kali tetapi tidak diendahkan mendorong seorang bapa membakar katil anak lelakinya tanpa ragu-ragu. 

Difahamkan kejadian itu berlaku pada 26 April lalu dan suspek telah didakwa di mahkamah, 20 November, semalam. 

Dua beranak itu menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pemandu jengkaut dan pada hari kejadian mereka sepatutnya hadir ke tapak pembinaan pada jam 6 pagi. 

Tetapi, anak lelakinya masih tidur dan sudah puas si bapa cuba mengejutkannya, pemuda itu enggan bangun menyebabkan bapanya menarik selimut serta menjerit pada anaknya. 

Tindakannya itu tidak menjadi, lalu si bapa mengambil sebotol minyak diesel dan memberi amaran dia akan membakar katil itu jika anaknya masih ingkar. 

Si anak pula menyangka bapanya sekadar bergurau dan tidak mengendahkan amaran tersebut. 

Bengang amaran tidak dipedulikan, si bapa terus menuang minyak diesel itu pada katil sebelum menyalakan api untuk membakarnya. 

Panik melihat api yang sudah marak, si anak terus bangun dan membantu ayahnya memadamkan api itu tetapi gagal bila mana api semakin marak sehingga jiran mereka terpaksa menghubungi bomba untuk meminta bantuan. 

Akibatnya, siling dan empat dinding bilik tersebut menjadi kehitaman. Barangan seperti meja, kerusi dan komputer juga terbakar. 

Di mahkamah, pendakwa raya berkata, api kebakaran itu boleh merebak dan mengancam nyawa 10 buah keluarga yang tinggal di bangunan berkenaan.